[VIDEO]SHAH ALAM, 7 JUN : Tindakan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa-mahasiswa UNISEL bukti Umno-BN mempolitikkan pendidikan untuk kepentingan dirinya sendiri.
Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini berkata tindakan kerajaan pusat terhadap lebih 1,000 pelajar baru UNISEL atau Universiti Selangor merupakan dendam terhadap Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata Umno-BN hanya memperjuangkan kepentingan parti dan bukannya Melayu seperti yang dilaungkan mereka.
“Lebih 90 peratus pelajar UNISEL adalah Melayu Bumiputera dan ini membuktikan Umno sedang mengkhianati orang Melayu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini.
Hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu adalah untuk Pakatan membuktikan yang mereka mampu memberikan pendidikan percuma di Selangor.
Manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin hari ini menyifatkan tindakan PTPTN adalah ‘adil’ untuk PKR menguji dasar pendidikan percuma di negeri ini.
Manakala, Exco Selangor, Dr. Yaakob Sapari menyelar tindakan Khaled itu sebagai menekan mahasiswa yang baru mendaftar.
“Menteri hanya diberi amanah mentadbir, mengapa perlu dikeluarkan arahan bagi menyekat itu dan ini.
“Perlu diingat bahawa 22 peratus dari cukai kerajaan pusat disumbang oleh kerajaan Selangor,” tegas beliau sambil menyifatkan keputusan itu tidak matang dan kebudak-budakan.
Katanya, Pakatan hanya akan melaksanakan dasar pendidikan percuma setelah mengambil alih Putrajaya.
“Tindakan ini membuktikan bahawa Umno-BN tidak akan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.”
Sementara itu, setiausaha publisiti DAP Selangor Jenice Lee menyifatkan tindakan Khaled sebagai tidak professional.
Tegasnya pendidikan seharusnya bebas daripada campur tangan politik yang menindas mahasiswa.
“Keputusan itu jelas bermotifkan balas dendam terhadap Pakatan yang ingin melaksanakan pendidikan percuma dan saya perlu tegaskan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan pusat,” katanya yang juga Adun Teratai.




Bila kerajaan pusat khasnya menteri pengajian tinggi membuat tindakan membekukan sementara pinjaman PTPTN terhadap pelajar UNISEL dan mungkin KUIS terbabit sama akan menimbulkan rasa marah ibu bapa pelajar terhadap kerajaan pusat walaupun tindakan itu kononnya untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri Selangor.
Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyokong tindakan PTPTN membekukan pinjaman yang dianggapnya sebagai “adil” , maka kita perlu sedar bahawa pemimpin UMNO BN memang hipokrit. Setiap hari mereka berkempen tak ubah lembut gigi dari lidah, agar semua rakyat Selangor memberi undi dan memenangkan parti mereka dalam pilihanraya ke 13….. Tapi disebabkan kalah berdebat dan berhujah dalam isu PTPTN mereka jadi sasau, sehingga sanggup memusnahkan kecemerlangan anak rakyat Selangor dengan membekukan pinjaman PTPTN yang sepatutnya dijadikan biasiswa.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sedang ketawa besar dan sedang menunggu tindakan susulan dari Menteri Besar Selangor diatas tindakan mereka membekukan pinjaman PTPTN. Kita percaya Menteri Besar Selangor tidak panik diatas tindakan itu malah bersedia menghadapinya seperti mana Menteri Besar Kelantan bersedia membina leburraya dengan perbelanjaan sendiri tanpa pertolongan dari kerajaan pusat.