Mahathir Lupa Pernah Jadi Rakan Akrab Amerika-Israel

SHAH ALAM 31 JAN : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sendiri mempunyai hubungan akrab dengan Amerika dan pernah melantik pelobi Yahudi yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, Dr Mahathir sengaja memutarbelitkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu negara Israel dan Palestin.

“Mahathir mungkin kelihatan begitu lantang bersuara menentang Zionis dan Barat tetapi sebenarnya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan mereka sehingga sanggup menandatangani perjanjian ketenteraan sulit dengan Amerika pada 1984 – Bilateral Training and Consultation Agreement (BITAC) – yang membolehkan Amerika menjalankan latihan ketenteraan mereka di Malaysia,” kata Nik Nazmi yang juga ADUN Seri Setia dalam kenyataan medianya.

Nik Nazmi berkata Anwar telah menjelaskan bahawa kenyataannya di dalam akhbar The Wall Street Journal adalah selari dengan penyelesaian dua negara (two-state solution) yang diterima inisiatif keamanan dunia Arab, Malaysia malah Hamas sendiri, pejuang kemerdekaan Palestin.

Tambah Nik Nazmi, selepas imej Malaysia punah teruk di mata masyarakat antarabangsa akibat pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir begitu terdesak untuk bertemu dengan Bush.

Beliau mendakwa Dr Mahathir sanggup membayar Jack Abramoff, seorang ahli lobi Zionis sebanyak AS$1.2 juta untuk mengatur pertemuan dengan Bush. Fakta ini diakui oleh Dr Mahathir sendiri.

Abramoff mempunyai hubungan rapat dengan Bush dan juga golongan ekstrem di Israel.
Menurut majalah Newsweek, wang yang dikutip oleh Abramoff di dalam aktiviti melobinya disalurkan untuk penduduk Yahudi melawan kebangkitan rakyat Palestin.

Abramoff akhirnya mengaku bersalah di atas tuduhan rasuah, penipuan dan lain-lain lagi pada 2006.

“Selepas itu, Bush menganggap Malaysia sebagai sekutu di dalam Perang Melawan Keganasan dan Malaysia menggunakan alasan tersebut untuk menangkap sesiapa sahaja yang dikehendaki termasuk anggota pembangkang yang dituduh sebagai pengganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” ujar Nik Nazmi.

Nik Nazmi berkata Dr Mahathir sehingga kini terus menyimpan dendam lamanya terhadap Anwar dan melempar pelbagai tuduhan fitnah.

“Beliau dan pimpinan Umno nampaknya tidak dapat berhenti menghamburi fitnah semata-mata untuk mengalihkan dari satu demi satu skandal yang membelenggu mereka,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About admin