MB: Perkasa Pendidikan Islam, Selangor Tambah 5,161 Guru

SABAK BERNAM 26 MEI : Bagi menampung kekurangan guru pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah 5,161 jawatan guru agama di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lantaran kerajaan negeri memiliki kemampuan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan penambahan jawatan ini bagi menampung kekurangan guru masa kini.

Katanya, setakat ini seramai 9,128 orang guru mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran seramai 238,572 pelajar.

“Jumlah pertambahan pelajar setiap tahun menyebabkan guru yang dipertanggungjawabkan tidak mencukupi.

“Jumlah guru itu juga merangkumi pelbagai jawatan sama ada tetap, kontrak dan sambilan,” katanya dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Guru JAIS Peringkat Negeri Selangor di Kompleks Pendidikan Islam JAIS, Bagan Terap, Sabak Bernam di sini.

Hadir sama, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Selain itu, Abdul Khalid juga mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permohonan kenaikan pangkat guru JAIS Gred DG41 ke Gred DG44 dan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 ke Gred DGA32.

Tambahnya lagi, dalam tempoh terdekat ini juga, kerajaan negeri akan mengiklankan kekosongan 60 jawatan tetap guru bagi gred jawatan DG41, DGA29, DG48, DG44 dan DG41.

“Pada masa yang sama juga bagi mengisi perjawatan gred DGA34, DGA32 dan DGA29,” katanya.

Sistem pendidikan Islam kelolaan JAIS bermula sejak tahun 1945 dan apabila mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008, banyak perubahan dibuat terhadap sistem pendidikan Islam.

Antaranya, penstrukturan semula dasar dan hala tuju pendidikan Islam dengan menjadikan Al-Quran sebagai kukikulum teras pendidikan Islam, penambahan bilangan sekolah agama dan perlaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid.

Pada masa ini, JAIS mengurus sebanyak 12 buah Pra Sekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi, 212 buah Sekolah Rendah Agama, 286 buah KAFA Integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah dan dua buah Sekolah Agama Menengah Tahfiz Sains dan Teknologi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Norhayati Umor