DSAI : Tahniah Buat Zunar

SHAH ALAM, 28 JAN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar atas kejayaan beliau untuk mengadakan pameran kartun-kartun politik di London bertemakan “To Fight Through Cartoon” (Berjuang Melalui Kartun) pada Februari depan.
Pameran tersebut akan berlangsung selama satu bulan di Free Word Centre, 60 Farringdon Road, London.

Sebanyak 80 karya-karya kartun yang menyentuh isu politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak asasi di Malaysia akan dipamerkan.

Anwar dalam kenyataan medianya hari ini turut memuji kesungguhan Zunar dalam meneruskan perjuangannya untuk berkarya, selain menasihatkan seluruh seniman supaya tidak tunduk menyerah kepada penguasa yang zalim serta rakus.

“Ucapan penghargaan juga buat Artikel 19, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kebebasan bersuara kerana menganjurkan pameran ini dan tahniah buat rakyat Malaysia di United Kingdom yang bertungkus lumus menjayakannya.

Saya difahamkan tema “Berjuang Melalui Kartun”dipilih oleh penganjur kerana kartun-kartun politik Sdr Zunar ternyata mendapat kekangan dan tekanan dari pemerintah Malaysia,” katanya.

Zunar adalah antara kartunis Malaysia yang dikecam hebat oleh kerajaan ekoran karyanya yang didakwa mengundang kontroversi dan bersifat menentang kerajaan.

Pada Julai 2010, kerajaan mengharamkan tujuh buku-buku kartun beliau dengan alasan kandungannya menjejas ketenteraman awam.

Selain tu, pejabat Zunar di Brickfeilds, Kuala Lumpur juga sering diserbu pihak berkuasa selain buku-bukunya turut dirampas, manakala kilang pencetak diugut supaya tidak lagi mencetak buku beliau atau menghadapi risiko kehilangan lesen.

Kedai-kedai di seluruh negara juga diberi amaran agar tidak menjual buku-buku beliau.

Pada September 2010, Zunar ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Hasutan namun dibebaskan atas arahan mahkamah.

Oktober tahun lalu, beliau juga terpilih sebagai seorang artis residen dalam program antipenapisan seni di Sepanyol selama tiga bulan, bermula Oktober ini.

Beliau antara 20 artis dalam program anjuran BilbaoArte/Fundacion BBK – sebuah yayasan kesenian Sepanyol – bagi membantu memperjuang dan mempertahankan hak berkarya dalam menghadapi penapisan dan tekanan pihak berkuasa.

Sementara pada 7 Julai tahun lalu beliau dianugerahkan penghormatan antarabangsa ekoran kritikan sinisnya terhadap perjalanan politik di Malaysia

Beliau menerima anugerah dalam bidang kartun editorial daripada Jaringan Antarabangsa Hak Kartunis (CRNI) yang berpengkalan di Amerika Syarikat Anugerah itu disampaikan dalam majlis tahunan di St Petersburg, Florida oleh Presiden CRNI, Joel Pett.

Pendapat Anda

Pendapat

About admin