Selangor Ucap Tahniah Sedia Khidmat Guaman Bantu Peserta BERSIH

SHAH ALAM 30 APR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor yang menyertai perhimpunan aman BERSIH 3.0 demi menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

Dalam satu kenytaan akhbar hari ini, beliau berkata, kehadiran lebih 200,000 orang di perhimpunan tersebut menggambarkan ketidakpuashatian rakyat terhadap sistem sedia ada yang jelas membelakangkan sistem demokrasi jitu di Malaysia.

“Kerajaan Negeri kesal dengan tindakan kasar dan tidak profesional anggota polis terhadap peserta serta petugas  media dan berpendirian bahawa Perdana Menteri perlu pastikan perkara ini disiasat secara adil.

“Bagi memastikan hak perlembagaan rakyat dijaga, Kerajaan Selangor akan menyediakan dana khidmat bantuan guaman kepada peserta perhimpunan yang menghadapi tindakan undang-undang,”katanya.

Jelas Abdul Khalid, bagi memastikan pilihanraya yang adil, kerajaan negeri menyokong penuh semua yang diperjuangkan dan dituntut oleh BERSIH.

Oleh itu, kerajaan negeri melancarkan program ‘Selangorku Bersih’ demi membersihkan senarai daftar pengundi secara besar-besaran dengan penglibatan masyarakat setempat.

Di bawah Program Selangorku Bersih ini, ketua kampung, penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan turun padang untuk membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi memastikan senarai daftar pengundi di kawasan mereka adalah tepat dan bebas dari sebarang keraguan.

“Kita akan huraikan strategi program ini secara terperinci kepada penghulu, ketua kampung dan JKKK dalam satu pertemuan pada 8 Mei ini,” jelasnya.

Kerajaan Selangor berusaha membersihkan daftar pengundi apabila mendapati pertambahan mendadak jumlah pengundi baharu di seluruh negeri Selangor.

Sebelum ini, Menteri Besar dan sejumlah pengundi di Selangor dipindahkan tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri.

Pendapat Anda

Pendapat

About TVSelangor