Surendran: Tranformasi Kebebasan Media Najib Hanya Retorik

SHAH ALAM 30 APRIL : Serangan yang didakwa dilakukan polis ke atas peserta BERSIH 3.0 dan wartawan yang membuat liputan perhimpunan itu menunjukkan kerajaan bertindak ganas dan tranformasi Perdana Menteri berhubung kebebasan media hanya retotik semata-mata.

Naib presiden PKR N Surendran berkata pihak polis dengan sengaja menjadikan para wartawan dan peserta sebagai sasaran serangan dalam perhimpunan yang diadakan semalam.

Katanya, tindakan Umno-BN itu melanggar hak kebebesan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga Perkara 19 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Kerajaan Umno-BN telah memalukan negara kita dengan serangan tanpa undang-undang itu terhadap akhbar dan orang ramai yang berhimpun secara aman untuk reformasi system pilihanraya.

“Serangan terhadap media tidak pernah berlaku sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tidak ikhlas dengan tindakannya baru-baru ini bahawa beliau sudah meningkatkan kebebasan akhbar dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetakl 1984,” katanya.

Tambahnya, motif gangguan dan serangan fizikal itu adalah untuk mengelakkan wartawan daripada merakam kekerasan, keganasan dan serangan polis ke atas orang awam.

Semalam, beliau mendakwa polis melakukan penahanan ke atas wartawan daripada Malaysiakini, akhbar Guan Ming dan juga Malay Mail.

Selain itu, polis juga merosakkan kamera dan merampas rakaman daripada wartawan Nanyang, stesen TV Channel News Asia, Al Jazeera, akhbar Makkal Osai dan laman Merdeka Review, dakwanya.

Dengan itu, beliau menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab ke atas “tindakan jenayah” ke atas petugas media itu.

“Serangan yang diselaras sebegitu dan juga serangan yang dialami tidak mungkin dijalankan tanpa arahan daripada pemimpin polis dan menteri dalam negeri,” katanya.

Justeru, pihaknya menuntut Najib mengeluarkan jaminan segera bahawa kerajaan BN akan menghormati kebebasan media dan menghentikan segala campurtangan dengan media yang menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, Tian Chua yang turut ditahan  menyifatkan keganasan polis itu sudah diizinkan rejim Najib kerana mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk melakukan provokasi.

“Peserta BERSIH yang sudah beransur pulang pun masih lagi dikasari termasuk ditendang dan dipukul beramai-ramai,” katanya.

Tian Chua berkata beliau tidak gentar dengan kekejaman polis sebaliknya lebih bersemangat walaupun turut dipukul dengan teruk semasa dalam tahanan.

Turut ditahan CheguBard dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari selain 388 orang ditahan.

Mereka dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur dan dibebaskan selepas lapan jam ditahan pada 6.55 petang semalam.

Dalam perhimpunan itu, dilaporkan kira-kira 512 peserta ditahan polis.

Pendapat Anda

Pendapat

About Norhayati Umor