MB: Peluang Miliki Tanah, Kediaman Lebih Terbuka Bawah PR

HULU SELANGOR, 27 APR: Peluang rakyat Selangor yang masih tidak memiliki tanah kediaman semakin terbuka luas di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) berbanding pemerintahan lama Umno-BN.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata PR mengutamakan mereka yang belum memiliki tanah atau kediaman sendiri dan berusaha mengelakkan sistem tanah dimanipulasi oleh agen tanah atau pemimpin politik.

“Kerajaan negeri hari ini cuba memastikan pemilikan yang minima, sesiapa dah pernah dapat tanah dari kerajaan negeri, cuma sekali sahaja, dah tak boleh dapat lagi.

“Sebelum 2008, ramai orang tak tahu bagaimana nak mohon tanah dari kerajaan negeri kecuali sesetengah pihak sahaja yang tahu caranya, bijak selok-belok pasal tanah mereka usahakan secara senyap-senyap.

“Akhirnya, balik-balik cuma dia atau saudara mara dia atau kenalan terdekat dia sahaja yang selalu dapat tanah.

“Sekarang kita tak mahu macam itu, kita umumkan supaya orang tahu sesiapa boleh mohon dengan syarat dia belum pernah dapat tanah dari kerajaan negeri lagi,” ujar Khalid.

Beliau berkata demikian dalam Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) 2012 Daerah Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Selisek pagi tadi.

Selain itu, Khalid juga memberitahu sebelum PR memerintah, terdapat beberapa kejadian di mana penghuni sesuatu kawasan tidak dapat memiliki tanah yang didiaminya.

Sebaliknya kerajaan negeri memberikan tanah tersebut kepada pihak lain.

“Sebelum 2008, saya dapat tahu, ada orang dah tinggal berbelas, berpuluh tahun di sesuatu tanah itu, tetapi tiba-tiba orang lain bukan tinggal di situ pula yang mohon dan dapat tanah itu.

“Bagi Pakatan Rakyat ini tak adil, orang yang tinggal di kawasan itu patut lebih layak mendapat tanah, bukan orang yang tinggal jauh dari situ.”

Khalid menjelaskan pada masa ini kerajaan negeri sentiasa meningkatkan tanah rizab kerajaan negeri.

“Walaupun ada tanah kosong, kerajaan negeri simpan untuk orang yang belum ada tanah.

“Kalau tak cukup tanah, kita sentiasa cari tanah baru untuk dijadikan rizab tanah yang baru,” kata Khalid lagi.

Dalam perkara yang sama, Khalid berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengurangkan bayaran premium tanah yang mampu dibayar rakyat.

“Itu hak rakyat, jadi kita berusaha agar premium tanah ini mampu dibayar rakyat,” kata beliau.

Pendapat Anda

Pendapat

About Nazli Ibrahim