Bonus Selangorku Diperuntuk RM7.5juta

KLANG 08 APRIL : Bagi meneruskan usaha memberi bantuan menerusi pelbagai program kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kerajaan negeri hari ini sekali lagi melancarkan program baru iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’.

Inisiatif tambahan itu diberikan kepada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.

Katanya, bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

” Insyaallah bantuan ini akan diteruskan untuk bayi-bayi yang lahir pada tahun-tahun seterusnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran program terbabit di Econsave Kampung Jawa, Klang.

Hadir sama, MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Exco Pendidikan, pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Pentadbir Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Tambah Khalid, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu.

“Oleh kerana publisiti yang meluas mengenai program TAWAS, ramai yang terlupa untuk mendaftar anak-anak, jadi kita memberi tempoh enam bulan hingga satu tahun sahaja bermula sekarang.

“Kita juga akan pergi ke hospital dan klinik bagi membantu anak-anak yang lahir supaya tidak ketinggalan dalam program ini,” katanya.

Setakat ini, jumlah yang mendaftar sebagai ahli TAWAS lebih 65 peratus berbanding 30 peratus semasa TAWAS diperkenalkan.

“Saya berasa berpuas hati kerana berjaya mengumpulkan wang simpanan negeri Selangor yang besar untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hayati Umor