23,637 Unit Rumah Mampu Milik Telah Dibina

SHAH ALAM 26 MAC : Golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini berpeluang  memiliki rumah mampu milik sendiri dengan adanya pelbagai pilihan yang disediakan Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Pakatan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat negeri dengan penyediaan rumah mampu milik mengikut beberapa kategori.

“Bagi kategori Rumah Kos Rendah, harga jualan bermula daripada RM 35,000 sehingga RM 42,000, Rumah Kos Sederhana Rendah pula berharga kurang daripada RM 72,000 sementara bagi Rumah Kos Sederhana berharga di bawah RM 100,000.

“Secara keseluruhannya, setakat ini sebanyak 23,637 unit rumah mampu milik dibina oleh PNSB (Permodalan Negeri Selangor Berhad) dan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) bagi tempoh April 2008 sehingga kini,” ujar Iskandar ketika menjawab soalan daripada Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Kerajaan Negeri merangka 5,612 projek Rumah Kos Rendah seluruh Selangor dengan 287 unit sudah siap dan sedia untuk diduduki, manakala 826 lagi masih dalam pembinaan selain 4,499 masih belum di bina.

Bagi Rumah Kos Sederhana Rendah pula, terdapat 2,532 projek yang sudah dirangka dengan 16 unit siap dibina dan 2,516 lagi masih belum dibina.

Sementara itu, bagi Rumah Kos Sederhana, sebanyak 5,510 siap dibina manakala 9,983 lagi masih belum dibina menjadikan jumlah keseluruhan unit Rumah Kos Sederhana adalah sebanyak 15,493 unit.

Daripada jumlah keseluruhan 23,637 unit, terdapat 1, 422 unit rumah di Bukit Botak merupakan projek rumah berkembar satu yang merupakan projek terbengkalai yang kini diusahakan PKNS.

Untuk jangka masa 2011 hingga 2021, PKNS merancang untuk membina lebih daripada 11,000 unit Rumah Mampu Milik yang mana 16 tapak yang terletak di Seksyen 3 Bangi telahpun dimulakan pembinaanya.

Kerajaan Negeri juga mensasarkan beberapa projek Rumah Mampu Milik yang dijangkan lancar iaitu di Kampung Seri Temenggong (Gombak), Seksyen 12 (Shah Alam), Kota Puteri dan Antara Gapi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa