Konflik Mesir: Anwar bidas sikap membisu Amerika, Kesatuan Eropah

Mesir1 (1)KUALA LUMPUR 14 OGOS: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap berdiam diri Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung konflik di Mesir yang semakin berlarutan.

Beliau berkata, kegagalan AS dan EU merujuk konflik di Mesir sebagai rampasan kuasa, apatah lagi mengutuk tindakan itu, mencerminkan sikap double standard mereka.

“Dengan berdiam diri apabila tentera mengeluarkan kata dua kepada Presiden Morsi, barat bersubahat.

“Kegagalan mengutuk rampasan kuasa memunculkan perbahasan tentang dasar luar barat yang tidak konsisten apabila melibatkan negara yang ditadbir pihak yang dipilih secara demokratik dan berorientasi politik Islam,” tulisnya.

Memetik Keadilan Daily, kritikan tajam itu dilontar dalam satu artikel yang ditulis Anwar bertajuk The Egyptian coup and the lessons of Turkey yang disiar laman web Aljazeera.com.

Anwar juga memetik ucapan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan di Istanbul yang mengutuk rampasan kuasa di Mesir sebagai merosakkan, tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat, negara dan demokrasi.

Kata Anwar, Erdogan tidak hanya memberi maklum balas spontan tetapi menjelaskan pengajaran dan sejarah yang diambil Turki dalam konflik yang berlaku di Mesir.

Kebelakangan ini, katanya, Turki turut berdepan usaha rampasan kuasa oleh tentera, namun rakyatnya berjuang keras mempertahan demokrasi di negara itu.

Anwar turut menggesa Barat, khususnya Amerika Syarikat mengambil tindakan bagi mengembalikan demokrasi dan hak asasi manusia, serta bukan menyokong rampasan kuasa di Mesir.

“Mereka mesti menuntut pembebasan serta-merta Presiden Morsi dan penyokongnya. Presiden Morsi perlu dikembalikan semula ke pejabat yang sah dan mesti segera memulakan dialog merangkumi semua pihak,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Fazallah Pit