Husam : Pas Yakin Boleh Menang Di Kuala Besut

Husam ceramah no kopiah 01

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Pas yakin akan mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Kecil Kuala Besut yang akan diadakan pada 24 Julai ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata walaupun Umno-BN memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dengan majoriti yang selesa dalam pilihanraya umum ke-13, Pas masih ada peluang untuk menakluk kerusi itu.

“Kita masih ada peluang untuk menang. Kita sudah ada calon, lepas tengok calon BN. Baru kita boleh tahu berapa peratus kita akan menang,” katanya dalam sidang media, di sini.

Husam turut menyifatkan kenyataan Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh  yang menyatakan Umno akan mempertahankan kemenangan itu dengan majoriti yang lebih besar sebagai kenyataan yang ‘angkuh’.

“Walaupun majoriti BN menang itu besar dan sah, namun PRK ini adalah tugas yang berat.

“Saya yakin rakyat boleh menilainya secara keseluruhannya. Jika Pas menang, agenda rakyat dapat dirangka dengan komprehensif,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya berkata calon yang akan bertanding pada pilihanraya itu akan diumumkan malam ini oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang.

Dalam PRU-13, Dr A. Rahman Mokhtar daripada Umno-BN memenangi kerusi Kuala Besut dengan majoriti 2,434 undi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Norhayati Umor