Pakatan Sokong Himpunan “Blackout” 15 Jun Di Kuala Lumpur

blackout suara rakyat 505 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) menyatakan sokongan terhadap penganjuran perhimpunan aman ‘Blackout 505′ yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 15 Jun ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu perbincangan akan diadakan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi memastikan perhimpunan tersebut akan berjalan secara selamat dan aman.

“Kita telah memutuskan untuk menyokong inisiatif mengadakan perhimpunan aman ini dan jawatankuasa sekretariat serta wakil NGO akan meneliti semua aspek berkaitannya.

“Rundingan bersama dengan Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan akan dibuat supaya perjalanan perhimpunan ini terjamin aman dan terkawal,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Setakat ini, lokasi himpunan tersebut belum ditentukan lagi.

Beberapa siri perhimpunan ‘Blackout 505′ telah diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara sejak 8 Mei lalu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Ia bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang didakwa penuh dengan unsur penipuan dan penyelewangan.

Berikutan penganjurannya, beberapa pemimpin PR dan aktivis politik ditahan dan didakwa di mahkamah selepas itu.

Antara mereka ialah, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Koordinator ABU, Haris Ibrahim; Presiden SMM, Safwan Anang, Aktivis PAS, Datuk Tamrin Ghafar dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib