480 Rumah Mampu Milik Dibina Di Sabak Bernam

Majlis Pecah Tanah MB 01

SABAK BERNAM 26 MAC : Sebanyak 480 Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibangunkan di Panchang Bedena di sini dengan harga di bawah RM100,000 sebuah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, projek di tanah seluas kira-kira 25 ekar itu akan melibatkan kos pembangunan kasar kira-kira RM85 juta.

Majlis Pecah Tanah MB 02Ia akan dibangunkan sepenuhnya oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

“Pembangunan di Sabak Bernam adalah penting bagi memastikan golongan muda terus menetap dan memperolehi peluang pekerjaan di kawasan ini dengan kita juga ingin membangunkan ekonomi anak muda di kawasan ini.

“Pembangunan menyeluruh diharap dapat dilaksanakan segera dan dirangka dengan betul dan dijadikan projek contoh di kawasan Sabak Bernam,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Pembangunan Perumahan Bercampur dan Pusat Rehat dan Rawat (R & R) Ladang Air Manis Panchang Bedena di sini.

Majlis Pecah Tanah MB 04Projek perumahan berkualiti pada harga yang munasabah ini dibangunkan bersama dengan pembangunan kawasan perumahan bercampur dan komersil serta kemudahan kawasan rehat dan rawat ( R & R) yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar berkata, projek pembangunan bercampur itu dirancang untuk membangunkan rumah teres dua tingkat kos sederhana.

Manakala rumah kos sederhana rendah dan rumah kos rendah akan dibangunkan berkonsepkan ‘townhouse’ termasuk pembinaan kedai pejabat tiga tingkat dan lot komersil.

“Kemudahan lain adalah pembinaan Pusat Rehat Dan Rawat (R & R) dan stesyen minyak bagi memudahkan pengguna jalan utama yang melewati kawasan ini disamping memberikan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Zailani Kadir.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut