Selangor Capai Sasaran Nilai Pelaburan RM10 Bilion Pada 2012

Teresa Kok Kontena Kilang 01

SHAH ALAM 13 FEB : Selangor berjaya mencapai sasaran nilai pelaburan melebihi jumlah purata yang ditetapkan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM10 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2012.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata bagi tempoh itu, Selangor mencatat rekod tertinggi berbanding negeri lain, dengan catatan melebihi RM10.5 bilion melibatkan 211 projek perkilangan yang diluluskan.

Katanya, jumlah itu mewakili sebanyak 30 peratus daripada jumlah nilai pelaburan di Malaysia.

Beliau berkata, dari jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak RM6.5 bilion(62%) adalah daripada pelaburan tempatan manakala sebanyak RM3.9 bilion (38%) daripada pelaburan asing.

“Daripada 211 projek itu, sebanyak 131 projek merupakan projek baru dengan nilai RM7.477 bilion dan sebanyak 80 projek merupakan projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.043 bilion.

“Dari segi potensi peluang pekerjaan pula, Selangor turut mencatat jumlah potensi peluang pekerjaan tertinggi sebanyak 18,975 peluang pekerjaan. Dari segi peratus, mencatatkan sebanyak 31 peratus daripada jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan di Malaysia,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK, di sini.

Beliau menambah industri pembuatan barangan peralatan kenderaan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi berjumlah RM4.4 bilion dengan 34 projek. Ia diikuti dengan Industri Pembuatan Barangan Elektrik dan Elektronik sebanyak RM1.5 bilion dengan 19 projek.

“Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi, diikuti dengan Hulu Selangor dan Klang,” katanya.

Tambahnya, jumlah itu menunjukkan Selangor masih kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan tempatan dan asing, malah pelabur tempatan menaruh harapan keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Kita menjangkakan Selangor akan terus berada di kedudukan nombor satu sehingga akhir tahun 2012,” katanya.

Untuk rekod, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2008 hingga Oktober 2012, Selangor muncul negeri tertinggi dengan jumlah sebanyak RM48.53 bilion.

Prestasi Selangor itu adalah yang terbaik dan tertinggi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor berbanding pentadbiran sebelum ini.

Pendapat Anda

Pendapat

About Norhayati Umor