Aktivis Mahasiswa Dakwa Dibelasah Samseng Umno Di Pekan, Pahang

mahasiswa pukul pekan feb11

SHAH ALAM 12 FEB: Seorang aktivis mahasiswa Ekhsan Bukhari Badarul Hisham mendakwa dipukul oleh empat lelaki yang mengakui mereka anggota Umno semasa berkempen di Pekan, Pahang.

“Saya ditarik keluar daripada kereta oleh samseng yang mengaku ahli Umno lalu menjatuhkan saya dan (saya) dibelasah di atas tanah,” kata Ekhsan Bukhari ketika menceritakan kejadian yang berlaku pagi ini di Kampung Datuk Keramat.

Pada masa kejadian, Ekhsan Bukhari dan beberapa rakan sedang mengedarkan risalah “Harapan Mahasiswa Untuk Malaysia” di kampung tersebut yang terletak di dalam kawasan DUN Pulau Manis.

Ekhsan Bukhari mendakwa kereta yang dinaikinya tiba-tiba ditahan di tengah jalan oleh sebuah kereta Proton Gen2 yang dinaiki oleh tiga orang lelaki.

Lelaki tersebut meminta pemandu kereta Ekhsan Bukhari supaya  berhenti di tepi jalan.

“Mereka rampas kunci kereta kami dan meminta kad pengenalan untuk diambil gambar.

“Selepas dimaki hamun dan diugut oleh mereka, datang seorang lagi samseng yang menaiki motosikal.

“Lelaki tersebut menarik saya keluar dari dalam kereta dan menjatuhkan saya,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Ehsan Bukhari mendakwa ke-empat-empat lelaki itu kemudian bertindak memukulnya.

Katanya, beliau cedera di beberapa bahagian badan termasuk siku berdarah, bahagian leher baju yang koyak serta kereta yang dinaikinya kemek di bahagian tepi.

Semasa berita ini ditulis, Ekhsan Bukhari di dalam perjalanan ke balai polis untuk membuat laporan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) mengumumkan untuk bertanding pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) di kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kumpulan aktivis berkenaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk mengedarkan risalah kepada setiap rumah di kawasan Parlimen tersebut.

ends

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini