Pada Tahun Baru Ini, Kekalkan PR Selangor, Tolak Pemimpin Rasuah

Rodziah PC Brown 02

SHAH ALAM 9 FEB : Tahun Baru Cina ini diharap dapat membawa perubahan dan impak yang lebih baik serta berpanjangan buat warga Selangor dan rakyat Malaysia.

Exco Kebajikan, Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail menyeru rakyat bersatu-padu dalam merealisasikan perubahan demi mengembalikan hak rakyat yang selama ini dicabul pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

“Menjadi lumrah setiap manusia untuk mempunyai azam, visi, dan hasrat murni sempena kehadiran tahun baru.

“Kita harus meraikan tahun baru ini dengan elemen-elemen dan sifat yang boleh membawa kita dan negara ini ke arah yang jauh lebih baik dan berjaya.

“Oleh itu, perlu bagi kita memastikan bahawa pemimpin yang dipilih adalah bebas rasuah, penyelewengan kuasa dan pembaziran demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera,” tegas beliau dalam perutusan Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, Rodziah yang juga merupakan Adun Batu Tiga juga berharap agar Kerajaan Pakatan Selangor terus diberikan mandat sekali lagi untuk meneruskan kesinambungan rekod cemerlang sepanjang lima tahun ini.

“Sepenggal berbakti, nikmat dirasai oleh sekalian rakyat negeri ini dengan program-program kebajikan dan pembangunan yang diatur dan dilaksana dengan baik oleh Kerajaan Negeri.

“Diharapkan, mandat dapat terus diberi agar ekonomi negeri Selangor terus dapat ditingkatkan dan dilonjakkan demi manfaat rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman,” tambahnya lagi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa