Kerajaan Persekutuan Jangan Sekat Bantuan Tunas

Jelajah Tunas Banting Halimah 01

BANTING, 9 FEB : Kerajaan Persekutuan disarankan supaya bersikap terbuka dan tidak menyekat mana-mana tadika di bawah kementerian-kementeriannya daripada menyertai Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke tadika kerajaan persekutuan mahu mendapatkan manfaat skim Tunas.

Namun katanya, sebilangan besar ibu bapa ditakut-takutkan dengan dakwaan bahawa ia perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Pelajaran.

“Kita mengharapkan supaya Kerajaan Umno-BN yang mahu melakukan transformasi perlu bersikap terbuka. Polisi Kerajaan Negeri ini adalah untuk semua tanpa mengira fahaman politik.

“Walaupun di Kemas yurannya mungkin tidak banyak, tetapi sekiranya mereka menyertai skim ini, mereka tidak perlu bayar langsung.

“Kita tidak pernah sekat mana-mana ahli Pakatan Rakyat untuk terima skim yang ditawarkan oleh Umno-BN, jadi kita harapkan sebaliknya.

Jelajah Tunas Banting Halimah 02“Kita perlu profesional,” katanya semasa merasmikan mini Karnival Jelajah Jejak Tunas 2012 Siri Kelapan Peringkat Kuala Langat di Dewan Harmoni, Kampung Sungai Lang Tengah, di sini hari ini.

Skim Tunas di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah bantuan yuran sebanyak RM 50 setiap bulan untuk keluarga berpendapatan rendah bagi menghantar anak mereka ke tadika.

Bantuan RM 50 dibayar terus kepada tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Hadir sama, Penyelaras Dun Dengkil, Borhan Aman Shah dengan disertai lebih 500 penduduk.

Dalam majlis hari ini, lebih 30 tadika di bawah daerah Kuala Langat telah mendaftar di bawah Skim Tunas.

Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 2012, sebanyak 217 permohonan daripada tadika telah diterima sehingga akhir tahun 2012. Manakala 339 permohonan diterima untuk tahun 2013 sehingga 31 Januari.

Manakala seramai 1,903 ibu bapa juga mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan Tunas bagi tahun 2012 sementara 1,800 permohonan dicatatkan sehingga 31 Januari untuk tahun 2013.

Untuk tahun 2013, MPTS mensasarkan 5,000 permohonan ibu bapa untuk Skim Tunas sehingga penghujung Disember.

Setakat ini, Daerah Klang mencatatkan permohonan paling tinggi dengan 528 permohonan untuk tahun 2012 dan 409 permohonan sehingga 31 Januari 2013.

Daerah Hulu Selangor pula mencatatkan permohonan terendah pada tahun 2012 dengan 22 permohonan sementara Daerah Sepang dengan 8 permohonan setakat ini.

Dari segi jumlah bayaran pula, sebanyak RM214,175 telah dibayar untuk tahun 2012 manakala RM90,000 untuk Januari 2013 sahaja.

Secara keseluruhan, kaum Melayu mengemukakan permohonan paling tinggi dengan pecahan hampir 89 peratus, diikuti kaum Cina dengan sembilan peratus dan India dua peratus.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera