‘Hantar Pulang Pelarian Uyghur, Bertentangan Prinsip Islam’

khalid samad white pc 03

SHAH ALAM 9 FEB : Tindakan Kerajaan Malaysia menghantar pulang pelarian Uyghur kembali ke negara China baru-baru ini dilihat sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip mempertahankan Islam yang rancak diuar-uarkan kerajaan ketika ini.

Timbalan Pesuruhajaya PAS Selangor, Khalid Samad dalam satu sidang media hari ini mendakwa, tindakan tersebut juga seolah-olah menghantar pelarian yang mengharapkan suaka politik dan pengiktirafan antarabangsa itu untuk dibunuh.

“Hampir pasti mereka ini akan dibunuh kerana mereka didakwa menentang kerajaan komunis di China.

“Sedangkan jika diberi peluang, mereka mungkin mendapatkan suaka politik.

“Penghantaran ini juga bukan pertama kali dilakukan kerajaan Malaysia, dan ini sememangnya mendapat tentangan daripada pelbagai pihak dan media antarabangsa,” tegas Khalid.

Lebih dikesali, Khalid berkata tindakan itu dilakukan sejurus selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Gaza yang galak dicanangkan sebagai pembela Islam sejagat.

“Ini bercanggah dengan dakwaan kononnya Umno ini pejuang Islam yang bersedia untuk membela umat Islam,” jelas Khalid.

Baru-baru ini, Kerajaan Malaysia didakwa menghantar pulang sekurang-kurangnya tiga orang pelarian Uyghur yang mengharapkan suaka politik di Malaysia.

Sebelum ini, pada Ogos 2011, Kerajaan juga melakukan tindakan sama dengan menghantar 11 pelarian Uyghur pulang ke China.

Sejak rusuhan di Urumqi, China pada tahun 2009, Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur, penindasan terhadap Uyghur oleh Kerajaan China dikatakan menjadi bertambah buruk.

Atas sebab itu, bilangan Uyghurs yang melarikan diri ke negara-negara asing, terutamanya di kalangan negara-negara Asia dilihat semakin meningkat.

Kebanyakan daripada pelarian Uyghur bertindak untuk memohon suaka politik di negara-negara Asia sehingga mereka diterima Amerika atau negara-negara Eropah lain selepas mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa