Serangan Terhadap Mazlan, PAS Selangor Kesal Polis Gagal Bertindak

Mazlan Aliman Felda

SHAH ALAM 8 FEB : Serangan dan provokasi ala samseng dilakukan ahli Perkasa terhadap Mazlan Aliman yang menganjurkan ceramah di Felda Sungai Tengi pada Isnin lalu membuktikan institusi kerajaan terus diperkuda untuk kepentingan politik parti pemerintah.

Ini kerana, menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad, sehingga kini polis tidak bertindak ekoran isu serangan yang dilakukan terhadap Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) itu.

“Sewaktu kejadian berlaku dan selepas ia berlaku, sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada pihak polis.

“Walaupun laporan polis sudah dibuat, polis masih tidak berbuat apa-apa dan ini bukan pertama kali berlaku sedemikian.

“Budaya ini dengan jelas sememangnya direstui pimpinan Umno, maka pihak polis seperti takut untuk mengambil tindakan,” ujar Khalid kesal.

Katanya lagi, polis yang seolah-olah bertindak mengikut telunjuk Umno-BN seharusnya bebas daripada kongkongan untuk melindungi rakyat tanpa mengira latar belakang dan pegangan politik.

“Selagi Umno/BN memegang tampuk pemerintahan, selagi itulah budaya samseng semacam ini akan terus berkembang.

“Maka penting untuk kita mengubah situasi ini menjadi lebih baik dengan melakukan perubahan kepada kerajaan baru di peringkat pusat,” kata Khalid dalam satu sidang media di pejabatnya petang semalam.

Sehubungan itu, PAS Selangor mengutuk dan menentang keras serangan yang dilakukan Perkasa yang bertindak menggangu ceramah Mazlan tempoh hari.

Mazlan yang juga merupakan AJK PAS Pusat mendakwa dibaling dengan botol, kerusi dan objek lain ketika ingin memulakan ceramah berkenaan isu pembohongan Felda pada malam kejadian.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa