Kerajaan Negeri Peruntuk RM70.4 Juta Bantuan Pelajar Masuk Universiti

Halimah Ali PC EXCO 6 FEB 2013 01

SHAH ALAM 6 FEB: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM70.4 juta sepanjang lima tahun ini khusus bagi bantuan pendidikan untuk rakyat di Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, sejumlah RM32.1 juta diperuntukkan untuk Hadiah Pengajian Intitut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada 32,130 anak negeri Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Katanya, program yang dimulakan sejak 1 Julai 2008 lalu diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) menerima sebanyak 45,164 permohonan daripada pelajar dan hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja layak dipertimbangkan untuk proses pemberian HPIPT sebanyak RM1,000.

Manakala, sebanyak RM38.3 juta pula diperuntukkan untuk Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri yang diberikan kepada 4,770 orang pelajar sejak lima tahun kebelakangan ini.

Dr Halimah berkata, seramai 758 pelajar diberikan pengurangan dan pelupusan bayaran balik atas sebab Penilaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang cemerlang mulai tahun 2004 hingga 2012.

Katanya, sejumlah RM5.05 juta jumlah pinjaman pelajaran yang dilupuskan sejak lapan tahun lalu.

“Bagi PNGK di antara 3.75 hingga 4.00 pinjaman diubah kepada biasiswa penuh dan bagi 3.49 hingga 3.74 diberi kadar pengurangan pinjaman sebanyak 50 peratus dan bagi 3.20 hingga 3.49 diberi pengurangan sebanyak 25 peratus,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang tadi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini