Insentif Perkahwinan Belia Boleh Dipohon Minggu Depan

Yunus Hairi Pc Exco 01

SHAH ALAM 6 FEB: Mulai minggu depan, golongan belia yang berkahwin paada Januari tahun ini dan berusia tidak lebih 35 tahun boleh memohon mendapatkan insentif perkahwinan yang diberikan Kerajaan Negeri.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, borang permohonan boleh didapati di Pusat Khidmat DUN di seluruh negeri bagi mendapatkan insentif sebanyak RM200 itu.

Katanya, anak kelahiran Selangor layak menerima hadiah insentif itu yang berupa wang simpanan Tabung Haji bagi yang beragama Islam dan bagi bukan Islam akan diberikan sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kita akan mula mengedarkan borang insentif ini dan para belia boleh mendapatkannya di seluruh Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN di negeri ini mulai minggu hadapan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sementara itu, Dr Yunus berkata, tiada syarat seperti penilaian gaji pasangan akan diambil kira selain belia yang memohon merupakan anak jati Selangor.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pemberian insentif perkahwinan itu akan dibiayai melalui peruntukan dari Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Selain menerima insentif perkahwinan ini, belia yang terlibat juga bakal ditawarkan program perumahan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini