Jejantas Baru Persiaran Tujuan Legakan Penduduk USJ 11 Dan USJ13

Hannah Yeoh - Binaan Jejantas hadapan Sekolah SMK USJ13 Subang Jaya 01

SUBANG JAYA 6 FEB : Penantian penduduk USJ 13 dan USJ 11 di sini sejak empat tahun lalu untuk mendapat kemudahan jejantas bakal berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan kemudahan itu melalui Geran Selangorku.

Projek pembinaan jejantas penjalan kaki sepanjang kira-kira 21 meter yang bernilai RM435,660 kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap dua bulan akan datang.

Jejantas terbabit akan menghubungkan penduduk USJ 11 ke USJ 13, berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 13.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata pembinaan itu dilaksanakan kerana khuatir dengan situasi yang boleh mengundang kecelakaan terutamanya kepada pelajar sekolah.

Hannah Yeoh - Binaan Jejantas hadapan Sekolah SMK USJ13 Subang Jaya 02“Persiaran Tujuan itu merupakan jalan utama yang paling sibuk di kawasan Subang Jaya selain Persiaran Kewajipan.

“Jika waktu puncak, kira-kira tujuh hingga 10,000 kenderaan akan melalui jalan ini kerana jalan ini juga merupakan jalan pintas ke Kuala Lumpur dan Puchong, jadi keselamatan penduduk dan pelajar sekolah sangat membimbangkan,” katanya ketika ditemui di lokasi pembinaan.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa dapat memberi kerjasama supaya tidak memberhentikan kenderaan ditepi jalan untuk mengambil dan menghantar anak mereka ke sekolah selepas pembinaan ini siap.

Sementara itu, wakil Rukun Tetangga USJ 13, Wilymn Lee, 53, berkata terdapat kemalangan kecil berlaku, namun setakat ini tidak melibatkan pelajar sekolah terbabit.

“Selama ini saya cukup risau keselamatan pelajar. Ada pelajar berbasikal menyeberang jalan ini, jadi jika ada jambatan ini, mungkin pelajar tidak perlu lagi menggunakan basikal.

“Kami bersyukur setelah menunggu begitu lama, akhirnya kami memperoleh jejantas sendiri. Pembinaannya akan dapat memastikan para pelajar sekolah ini melintas jalan dengan selamat,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Norhayati Umor