Ahli PBPM Dakwa Duit RM600,000 Pemberian KDN Lesap Dibawah Presiden Tidak Sah

bekas polis 3

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Ahli-ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) kesal di atas tindakan penyelewengan geran berjumlah RM600,000 oleh Shafie Bakri kononnya menjawat jawatan Presiden PBPM pada ketika ini secara tidak sah.

Ini kerana Shafie sebelum ini didapati terlibat perlanggaran fundamental peruntukkan undang-undang kerana terlibat mengatur kehadiran ‘Perwakilan Haram’ dari Pulau Pinang yang hadir ke Perhimpunan Agung pada 24 Januari 2009 untuk mengundi dan memilih beliau sebagai Presiden sedangkan Pendaftar Persatuan Pulau Pinang  dibubarkan oleh ROS pada 25 Jun 2008.

Menurut Naib Presiden PBPM, Nasiruddin Mohamad, geran berjumlah RM600,000  dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini diberikan hasil inisiatif mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mahmood Adam bertujuan menamatkan krisis PBPM tanpa melibatkan mahkamah

Keputusan yang dibuat ini dipersetujui oleh kedua-dua kumpulan bertelagah dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa J3P (Pemutihan, Pemilihan dan pemantauan) yang dipengerusikan mantan Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Fuad Ab Aziz.

“Geran RM600,000 didapati lesap digunakan Shafie yang jelas tidak mematuhi keputusan Mesyuarat Jawatankuasa J3P tanpa pemantauan KDN yang telah bermesyuarat pada 9 Mac 2010.

“Beberapa laporan polis dibuat oleh PBPM di peringkat negeri ekoran penyelewengan geran untuk tujuan diadakan Mesyuarat Agung di semua peringkat di seluruh negara.

“Memorandum turut dihantar ke KDN dan SPRM supaya siasatan dilakukan mengenai penyelewengan yang dimaklumkan disalahguna seperti membuka syarikat, mengadakan majlis makan malam untuk berkempen dan membayar yuran peguam sehingga mencecah ratusan ribu supaya Shafie mengekalkan kuasa menggunakan mahkamah,” katanya.

Lebih mengejutkan dua Sijil Simpanan Tetap untuk Tabung Bangunan PBPM berjumlah RM221,418.07 turut hilang dan dicairkan sedangkan sijil asal berada di dalam simpanan PBPM.

Nasiruddin turut mempersoalkan apakah tindakan Shafie yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jelebu ini mendapat ‘perlindungan politik dan campurtangan ghaib’ daripada agensi kerajaan atau dibenteng oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Penasihat Tabung Kebajikan Datuk Seri Utama Rais Yatim yang juga Ketua Umno Bahagian Jelebu.

“Mengapa wang rakyat RM500,000 untuk kegunaan kebajikan ahli PBPM diseleweng sebanyak RM200,000 yang kepimpinan mereka masih dipertikaikan kesahihannya sebagai peneraju PBPM tidak diambil tindakan segera oleh ROS? Jelas terbukti mereka menyalahi Undang-undang Persatuan dan Akta Pertubuhan 1966,” soal beliau.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afix Redzuan