Jumlah Pampasan Air : Selangor Tunggu Keputusan Timbang Tara

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 4 FEB : Tawaran harga pampasan kepada empat syarikat konsesi air Selangor dalam usaha mengambil alih perkhidmatan air akan ditentukan melalui proses timbang tara antarabangsa.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Sementara pengagihan air terawat pula dikendalikan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian selepas semua prosedur dilaksanakan.

Katanya, syarikat konsesi boleh memaklumkan jangkaan harga tawaran itu kepada media tetapi Kerajaan Negeri menunggu hasil keputusan perunding timbang tara antarabangsa.

“Buat masa ini kita tidak umumkan berapakah jumlahnya kerana ia ada hubungan dengan ‘security commision’, kita tidak boleh membuat pengumuman sekarang kerana ia adalah maklumat sensitif dan melibatkan bursa saham.

“Jadi kita akan umumkan semasa kita mahu ambil alih nanti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvesyen Pendidikan Antarabangsa di Universiti Industri Selangor (Unisel) 2013.

Minggu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan akan mengambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari.

Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut.

Usaha mengambil alih perkhidmatan air daripada empat syarikat tersebut adalah sebahagian daripada objektif Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menstruktur semula industri air.

Pendapat Anda

Pendapat

About Norhayati Umor