Kerajaan Negeri Komited Selesaikan Status Hak Milik Tanah Di Tiga Kampung Di Ijok

MB ponggal kg keretapi ijok 01

KUALA SELANGOR 3 FEB: Masalah tanah di dua kawasan di Ijok, Kampung Sungai Darah dan Kampung Pecah Batu, yang antaranya berlarutan lebih 30 tahun, bakal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri dalam masa tiga minggu.

Manakala masalah tanah di Kampung Keretapi akan diselesaikan setelah Kerajaan Negeri ambil tindakan terhadap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bagi Kampung Sungai Darah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) serta Pejabat Daerah Kuala Selangor akan dipanggil untuk berbincang mengenai status hak milik tanah penduduk kampung.

MB ponggal sg darah ijok 01Katanya, masalah tersebut akan dapat diselesaikan dalam jangka masa dua minggu memandangkan semua nama pemohon sudah dikenalpasti.

“Saya akan duduk bersama Yang Dipertua MDKS pada minggu hadapan dan selepas itu kita akan berjumpa masyarakat selepas itu untuk memberikan hak milik kepada mereka.

“Pemilik tanah akan menerima nama yang baru dan juga tanah tersebut mesti mempunyai rezab jalan dan rezab parit supaya tidak berlaku masalah di masa akan datang,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menghadiri pesta Ponggal yang disambut masyarakat India di beberapa kawasan di sekitar Ijok petang tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua MDKS, Noraini Roslan, Setiausaha MDKS, Azahari Saidin serta Pegawai Daerah Kuala Selangor, Yazid Bidin.

Bagi kes Kampung Pecah Batu pula, penduduk juga akan menikmati status hak milik tanah dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu lagi.

Azahari berkata, sebelum ini tanah yang diduduki penduduk di kawasan itu adalah tanah rezab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Menteri Besar berhak membatalkannya dan menjadikan tanah tersebut menjadi tanah kerajaan.

“Selepas jadi tanah kerajaan, barulah boleh proses untuk memberikan hak milik kepada penduduk di kawasan ini dan semua pelan sudah disediakan termasuk senarai nama penduduk.

“Kita akan pamerkan nama pemohon yang memohon lot tanah tersebut supaya semua yang memohon dapat mengenalpasti status hak milik tanah mereka,” kata Azahari ketika berucap di majlis tersebut.

Manakala bagi kes di Kampung Keretapi pula, status hak milik tanah di kawasan itu dibawah KTMB dan Kerajaan Negeri akan berbincang dengan penasihat Undang-Undang negeri.

Ini bagi mengambil tindakan mahkamah jika KTMB tidak menyerahkan hak milik tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata, undang-undang menyatakan bahawa jika tanah tersebut tidak digunakan untuk pembinaan landasan keretapi, Kerajaan Negeri berhak mengambil balik tanah tersebut.

“Saya menjangkakan dalam tempoh 50 tahun pun belum tentu KTMB nak buat landasan keretapi di kawasan ini, dan Kerajaan Negeri akan mengambil semula tanah ini.

“Saya ingin meminta supaya penduduk di Kampung Keretapi ini bersabar sementara kes ini akan diselesaikan supaya setiap penduduk dapat memiliki hak milik tanah sendiri,” kata Abdul Khalid yang juga merupakan Adun Ijok.

Rata-rata penduduk yang ditemui di tiga kampung terlibat menyatakan perasaan gembira kerana penantian yang ditunggu selama hampir 30 tahun akan dapat dirasai.

Bagi Razali Mohamad, 46, penduduk Kampung Pecah Batu, merasakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid sentiasa berusaha mencari jalan bagi mengatasi masalah seperti pemberian hak milik kepada penduduk.

“Saya sudah tinggal selama hampir 30 tahun di sini dan telah lama menantikan hak milik kekal dan syukurlah impian ini bakal menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui.
Mb ponggal tuan mee ijok 01

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini