E-GEMS Aplikasi Elektronik Bantu Selangor Banteras Gejala Sosial

e gems mb halimah gejala sosial 01

SHAH ALAM, 31 JAN : Sesiapa yang menjadi mangsa penganiyaan, ganguan seksual atau gejala sosial yang lain boleh menggunakan aplikasi elektronik untuk mendapatkan bantuan.

Aplikasi web tersebut yang dinamakan E-Gems, akan membantu mangsa dan pengadu menghubungi agensi kerajaan yang boleh memberi bantuan kepada mereka.

Perkhidmatan yang dilancarkan hari ini oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertujuan memerangi gejala sosial di Selangor.

Abdul Khalid berkata sistem itu akan membangunkan komponen sistem maklumat perkhidmatan sosial komuniti Selangor selain mengumpul maklumat penduduk.

“Sistem ini membolehkan mereka mengetahui aktiviti pencegahan yang dijalankan di samping membantu mereka yang terjebak dalam gejala tidak sihat untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pertolongan daripada pakar berkaitan.

“Saya menyokong usaha ini kerana kita akan berada lebih dekat dengan masyarakat dan jelas dalam zaman sekarang sistem komunikasi elektronik lebih luas digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan  Sistem Pengurusan Sosial E-Gems di Auditorium Jubli Perak, SUK hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

“Semua pihak perlu memainkan peranan sama ada secara formal atau tidak formal bagi memastikan gejala sosial dapat dikawal.

“Kegagalan pihak komponen terutamanya agensi kerajaan negeri memainkan peranan yang berkesan boleh menjejaskan hubungan rakyat dan kerajaan,” katanya lagi.

 

 

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera