Pihak Berkuasa KL dan PJ Perlu Pantau Projek Bukit Gasing

tanah runtuh bukit gasing 02

KUALA LUMPUR 29 JAN : Pihak berkuasa tempatan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya digesa memantau perkembangan projek pembangunan di persekitaran Bukit Gasing bagi memastikan ia tidak mengancam keselamatan penduduk sekeliling.

Ini disebabkan beberapa kejadian tanah runtuh dan pergerakan tanah yang penduduk dakwa berpunca daripada tapak pembangunan perumahan mewah di lereng bukit tersebut.

tanah runtuh bukit gasing 01MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta bertindak serta-merta kerana sebelum ini pelbagai aduan telah dikemukakan penduduk.

“Ada beberapa kes tanah runtuh yang berlaku dan banjir lumpur yang berlaku di Kampung Pasir dan Institut Pengajian Bahasa di Lembah Pantai dan Hill Park.

“Tanah runtuh ini berlaku di keseluruhan kawasan yang meliputi di bawah DBKL,” kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian semasa turun padang di kawasan yang didakwa berlakunya tanah runtuh berhampiran tapak pembinaan Gasing Meridian di Gasing Indah di sini.

Nurul Izzah meminta DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk bergabung dengan pihak berkuasa tempatan Petaling Jaya untuk menyelesaikan masalah itu secara keseluruhannya.

“Bila pembangunan yang melibatkan lebih kurang 60 ekar di lereng bukit pihak DBKL perlu bertindak apabila berlakunya kejadian seperti tanah runtuh.

“Apakah perlu menunggu runtuhan yang amat dahsyat baru hendak bertindak,” tegas Nurul Izzah.

Jelas Nurul Izzah lagi, wujud konflik kepentingan apabila pihak DBKL didakwa mempunyai kerjasama pembangunan di kawasan itu dengan pihak pemaju.

Menurut Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, penduduk meminta diwujudkan pasukan bertindak kecemasan (response team) yang akan memantau setiap perkembangan yang berlaku di kawasan Bukit Gasing.

tanah runtuh bukit gasing 03“MBPJ juga perlu menghentikan sebarang kelulusan pembangunan di kawasan Bukit Gasing yang terletak di kawsan Petaling Jaya,” kata Hannah yang juga merupakan Adun angkat kepada DUN Bukit Gasing.

Penduduk Bukit Gasing, Gary Yeoh, meminta pertolongan daripada wakil rakyat agar kejadian tanah runtuh mendapat perhatian khusus daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kita meminta pihak berkuasa untuk bertindak dan dimaklumkan perkembangan dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, pengurus projek Gasing Meridian Sdn Bhd, Kenneth Tan mendakwa tiada kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak projek di Gasing Meridian.

“Saya melihat kawasan projek setiap hari dan mendapati tiada kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Gasing Meridian.

“Kita sedang menjalankan kerja-kerja pembangunan secara berfasa,” ujarnya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut