Tiada Maklumat Lengkap Sebab Kerajaan Negeri Mohon Ketepi Saman Ibu Tunggal

PC EXCO Jan 2013 MB 02

SHAH ALAM 23 JAN : Ketiadaan maklumat lengkap seperti tiada alamat dan didapati tidak tinggal di alamat yang dinyatakan antara faktor menyebabkan Kerajaan Negeri memohon mengenepikan saman yang dikemukakan golongan ibu tunggal kerana mendakwa tidak menerima elaun yang dijanjikan Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tetapi akan membuat rayuan bagi mengenepikan kes berkenaan.
“Beberapa sebab dirasakan tidak menepati keperluan asas kes untuk dibicarakan. Antaranya terdapat beberapa nama yang tidak mempunyai maklumat lengkap seperti alamat, ada juga yang didapati tidak tinggal di alamat yang dinyatakan serta ada yang didapati tidak tinggal di kawasan itu pun.

“Kerajaan Negeri berpendapat, perkara-perkara sebegini tidak akan dapat selesaikan masalah kerana jika ke mahkamah pun, ia tidak adil untuk dibicarakan melainkan jika mereka memenuhi kriteria penerima yang ditentukan,” ujar Abdul Khalid dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Bangunan SUK petang tadi.

Pada 22 November tahun lalu, seramai 2,020 ibu tunggal memfailkan tuntutan saman bagi menuntut tunggakan berjumlah RM10.9 juta.

Mereka menamakan Kerajaan Negeri yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Abdul Khalid selaku Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri sebagai defendan kedua.

Susulan daripada itu, pada 12 Disember tahun lepas, defendan memfailkan permohonan bagi membatalkan tuntutan berkenaan atas alasan tuntutan tersebut dibuat berdasarkan manifesto yang tidak boleh dikuatkuasakan kerana tidak diiktiraf dalam undang-undang.

Defendan juga mendakwa plaintif menyaman pihak yang salah kerana PKR, PAS dan DAP bukanlah sebuah Kerajaan Negeri semasa manifesto dibuat dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa