Pertikai Kerakyatan Kaum Cina, India : Aziz Bari Saran Polis Siasat Mahathir

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 23 JAN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyarankan polis menjalankan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu memberi kerakyatan kepada warga asing di Sabah bagi tujuan pilihan raya.

Malah, tindakan Dr Mahathir mengaitkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra memberikan kerakyatan kepada orang Cina, India dan bangsa lain ketika sebelum merdeka adalah tidak relevan serta mengarut.

Tegasnya, isu itu juga pasti menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India.

“Ia macam mempertikaikan orang Cina dan India ini mendapat hak kerakyatan, macam ia tidak mengikut undang-undang.

“Seharusnya ada pihak yang membuat laporan kepada polis dan polis menjalankan siasatan ke atas Dr Mahathir,” katanya dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Dr Aziz berkata, apa dilakukan Tunku Abdul Rahman adalah secara telus dan terbuka berdasarkan syor dan rundingan serta tidak menipu.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja (RCI) yang menjalankan siasatan ketika ini perlu menyiasat penipuan dilakukan melibatkan Dr Mahathir.

“Sampai sekarang sesiapapun boleh memohon menjadi warganegara mengikut peraturan. Yang Dr Mahathir buat pada 1994 ialah dengan secara sembunyi-sembunyi – Projek M dengan ribuan diberikan kepada orang Filipina dan yang lain,” katanya.

Berhubung pendidikan percuma sepertimana dijanjikan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya diberikan mandat mentadbir negara, Dr Aziz menjawab, pelbagai program dijalankan Kerajaan Negeri Selangor menjadi bukti bankrap tidak berlaku.

 

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib