Raja Ropiah Perlu Jawab Terbabit Skandal Tanah

Zuraidah Kamaruddin pink 01

DAMANSARA 4 JAN : Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah perlu tampil menjelaskan skandal tanah terbaru di Selangor yang melibatkan beliau dengan keuntungan atas angin bernilai jutaan ringgit.

Desakan itu dibuat Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin dalam satu sidang media yang turut disertai Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Exco Negeri Selangor, Rodziah Ismail di Ibu Pejabat PKR di sini pagi tadi.

“Beliau harus menjelaskan samada keuntungan itu akan digunakan untuk diri sendiri atau menjadi dana untuk kepentingan Wanita Umno Selangor.

“Walau apa jua jawapannya, ini adalah satu bentuk penyelewengan yang tidak dapat diterima lebih-lebih melibatkan caruman pencen anggota tentera Malaysia,” tegas Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Salahlaku Ketua Wanita Umno Selangor ini, menurut Zuraida, hanya menambah koleksi skandal-skandal yang dicetuskan golongan wanita berprofil tinggi dalam Kerajaan Pusat, antaranya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Rosmah dengan perbelanjaan barang kemas dan beg mewahnya, Shahrizat pula skandal NFC (National Feedlot Centre) yang kesemuanya sehingga kini tidak terjawab oleh mereka.

“Sekarang, Raja Ropiah pula muncul dengan skandal terbaru sedangkan beliau kononnya sebelum ini lantang memperjuangkan nasib golongan ibu tunggal di Selangor.

“Inikah wajah pemimpin wanita Umno? Saya harap satu siasatan dapat dilakukan segera ke atas beliau,” desak Zuraida lagi.

Tambah beliau, jika Raja Ropiah masih kekal membisu berhubung isu tersebut, satu gerakan secara berterusan akan dilakukan bagi memberi tekanan dan desakan kepada Ketua Wanita Umno Selangor itu.

Terdahulu, Rafizi mendedahkan Raja Ropiah melalui Alam Megah dianugerahkan tanah seluas 223 ekar secara percuma oleh Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2005 sebagai balasan kepada kerja-kerja merekabentuk dan membina sebuah kolej latihan tentera.

Tanah tersebut yang terletak di kawasan ‘prime land’ antara Bukit Bandaraya Shah Alam dan Bukit Raja pada asalnya diambil Kerajaan Persekutuan dan digazetkan bagi tujuan membina kem tentera.

Raja Ropiah sebelum ini melalui syarikat miliknya, Alam Megah didakwa giat menjalankan usaha menjual tanah itu kepada Bakti Wira Development Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat milikan penuh Bousted Holdings Berhad.

Bousted adalah unit pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang bertanggungjawab menyimpan caruman daripada potongan gaji anggota tentera.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa