Pakatan Boleh Jamin Kestabilan Harga Kelapa Sawit, Getah

Anwar Sawit 01

PETALING JAYA, 3 JAN : Pakatan Rakyat (PR) akan melaksanakan beberapa langkah bagi menjamin kestabilan harga komoditi kelapa sawit dan getah yang melibatkan kira-kira 3 juta rakyat Malaysia sekiranya diberi mandat memerintah negara kelak.

Antaranya, menubuhkan Tabung Kebajikan Komoditi Negara dengan sumbangan asas sebanyak RM 100 juta setahun bagi mewujudkan jaringan sosial untuk membantu setiap keluarga yang bergantung kepada komoditi ini.

Selain itu, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan PR akan merombak semula sistem permit eksport yang memberi keuntungan berganda kepada sesetengah pihak sehingga menjejaskan harga keluaran kelapa sawit negara.

Di samping itu, pentadbiran PR akan menjalankan kerjasama erat dengan industri perladangan bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja Indonesia di dalam sektor itu.

“Hubungan diplomatik dan persaudaraan dengan kerajaan dan rakyat Indonesia perlu diperkukuhkan kerana Indonesia merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia.

“Hubungan dengan kerajaan dan rakyat Indonesia yang retak di bawah pentadbiran (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak menyukarkan sebarang usaha pelarasan dan kerjasama untuk berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran komoditi dunia.”

Anwar berkata demikian di dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Anwar memaklumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipilih untuk mengetuai satu pasukan khas untuk merangka program-program terperinci bagi dasar di atas.

Menurut Anwar, Abdul Khalid dipilih atas dasar kepakarannya menerajui syarikat gergasi perladangan negara.

Tambahnya lagi, dasar pentadbiran Najib yang menganugerahkan permit eksport kelapa sawit kepada pihak berkepentingan telah menyebabkan lambakan minyak kelapa sawit mentah di pasaran dalam negara.

Jelasnya, ia berlaku apabila syarikat yang tidak mempunyai permit eksport tidak mampu menjualnya di pasaran antarabangsa kerana cukai yang menjadikan komoditi mereka lebih mahal berbanding kargo negara lain.

“Akibatnya, keluaran syarikat-syarikat ini dilambakkan dalam negara hingga menyebabkan harga kelapa sawit terus jatuh. Di samping kejatuhan sedia ada di peringkat pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

Anwar berkata harga minyak sawit mentah susut 23 peratus dalam setahun dengan harga purata terkini RM 2,477 per tan metrik (minggu pertama Januari 2013), berbanding RM 3,255 per tan metrik tahun lalu.

Sementara harga tawaran getah beku gred SMR CV bagi minggu pertama Januari 2013 ialah RM 9.61 per kg, berbanding RM 10.87 per kg bagi tempoh sama tahun lalu (penurunan sebanyak 12 peratus).

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera