PAS Mahu Pecahan Undi Ikut Usia, Jantina

pas-spr

SHAH ALAM, 31 DIS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menghapuskan pecahan pengundi sesuatu kawasan mengikut komposisi kaum.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pecahan pengundi mengikut kaum selama lima dekad mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada perpaduan kaum di dalam negara.

“Sudah tiba masanya, perkara ini dirombak dengan SPR mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat.

“Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, pecahan pengundi mengikut kaum dibuat SPR selama ini juga dipercayai dibuat mengikut selera dan pecahan parti komponen BN.

Ujarnya, jika dilaksana ia boleh mengurangkan risiko berlakunya keadaan masa kini di mana ada pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi mendapat modal politik murahan.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Malahan, melalui pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama untuk meraih undi.

“Sambil SPR membersihkan daftar pengundi, pecahan pengundi baru mengikut usia boleh dilaksanakan kerana ia tidak susah kerana segala maklumat sudah ada pada kad pengenalan pengundi.

“Cukuplah rakyat dan negara ini ‘dipakaikan’ cermin mata berdasarkan pecahan kaum – Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya kita memakai kacamata yang lebih menjurus ke arah perpaduan,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut