Peruntukan Adun Dimanfaat Kepada Rakyat

Manoharan Mesra Rakyat 03

KLANG, 30 DIS : Peruntukan sejumlah RM500 ribu yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor kepada setiap Adun-adun di negeri ini dimanfaatkan demi pembangunan dan kebajikan setiap rakyat di kawasan masing-masing.

Bagi Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam, peruntukan yang diberikan kepadanya digunakan sepenuhnya bagi membaiki dan menaiktaraf beberapa kemudahan infrastruktur seperti ‘trek jogging’ dan taman permainan bagi penduduk di kawasannya.

Katanya, hasil penggunaan peruntukan secara berhemah dan berjimat cermat, sebanyak enam kawasan perumahan di Kota Alam Shah bakal menikmati kemudahan ‘trek jogging’ tersebut.

“Hasil peruntukan secara berjimat cermat ini, kita dapat sediakan beberapa kemudahan seperti ‘trek jogging’ yang moden ini dengan setiap satunya melibatkan kos sebanyak RM100 ribu,” katanya.

Beliau ditemui di program mesra rakyat sempena Krismas dan sambutan Tahun Baru Dun Kota Alam Shah yang bertempat di Pusat Khidmat Dun Kota Alam Shah dan dihadiri seramai 300 penduduk pelbagai kaum.

Manoharan juga memaklumkan hampir 60 peratus peruntukan Adun kepadanya disediakan bagi bantuan pendidikan khususnya kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, beliau memberikan bantuan yuran sekolah, yuran pengangkutan pelajar, serta lain-lain bantuan seperti beg sekolah dan sebagainya.

“Saya juga memberikan saguhati sebanyak RM200 kepada setiap pelajar yang mendapat kesemua A dalam semua matapelajaran di sekolah sebagai menghargai usaha yang dilakukan mereka,” katanya.

Selain itu bantuan berupa kesihatan dan perubatan turut dititikberatkan olehnya demi menjaga kebajikan penduduk di kawasannya.

Manoharan Mesra Rakyat 02 Manoharan Mesra Rakyat 01

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini