Isu Penggunaan Nama Allah, Ahli Politik Jangan Menangguk Di Air Keruh

Dr Maszlee

SHAH ALAM, 29 DIS: Dialog antara agama di negara ini perlu disuburkan bagi mengelak salah faham antara agama hingga menyebabkan ia dipolitikan.

Dialog ini perlu apabila isu sensitif dalam agama sengaja dijadikan isu politik untuk menyerang lawan demi kepentingan politik masing-masing.

Bagi Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik, sebenarnya isu ini hanyalah merupakan simptom kepada permasaalahan lebih besar iaitu kejahilan di antara penganut sesuatu agama tentang agama lain di negara ini.

Akibat kejahilan bersama ini timbulah salah faham bersama atau ‘mutual misconception’ yang menjadi ruang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham.

Oleh demikian, beliau mengingatkan ahli-ahli politik agar meningkatkan integriti, moral dan etika masing-masing agar tidak menangguk di air keruh atas kejahilan bersama masyarakat di negara ini.

Menurut beliau lagi, salah faham bersama ini dapat dielakkan atau diminimakan sekiranya Kementerian Pelajaran mewujudkan mata pelajaran agama-agama di Malaysia sebagai subjek teras dan diwajibkan ke atas semua pelajar.

“IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut sebagai salah satu subjek teras mereka.

“Begitu juga subjek Agama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan agama rasmi di negara kita yang perlu diketahui oleh semua rakyatnya,” kata beliau.

Dr Maszlee juga memberitahu setiap rakyat negara ini hendaklah menghargai kemajmukkan masyarakat di negara ini.

“Menjadi tanggungjawab setiap warga di Malaysia untuk bersama menghargai kemajmukkan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan bukannya sebagai faktor perbalahan,” ujar Dr Maszlee dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, isu penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak bertambah hangat dan menemui jalan buntu apabila sesetengah ahli politik sengaja menjadikan isu ini sebagai senjata menyerang lawan politik mereka.

Tindakan mereka ini akhirnya menambah kusutkan keadaan sehingga mampu mencetus ketegangan antara penganut Islam dan Kristian di negara ini.

Pendapat Anda

Pendapat

About Nazli Ibrahim