Rodziah : Beri Peluang Bekas Penagih Kembali Kepada Masyarakat

Rodziah Mic Kuning 01

SHAH ALAM 29 DIS : Kerajaan Negeri menyeru semua pihak agar tidak meminggirkan bekas-bekas penagih dadah atau mereka yang bergelar Orang Kena Pengawasan (OKP).

Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, golongan tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya agar mereka dapat membina jati diri untuk kembali bermasyarakat dan tidak ketinggalan dalam era pembangunan negeri mahupun negara.

Beliau menyampaikan amanat tersebut sewaktu ucapan perasmiannya di Seminar Pemantapan Sahsiah Diri Bekas Pengguna Dadah yang diadakan di Wisma PKPS di sini pagi tadi.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha agar semua pihak mendapat tempat dalam masyarakat, tanpa mendiskriminasikan golongan tertentu sekalipun golongan OKP.

“Mereka ini wajar diberikan peluang untuk membuktikan bahawa diri mereka sudah berubah dan bersedia untuk menyahut cabaran bersaing seperti orang lain dalam sektor pekerjaan dan sebagainya.

“Inilah cabaran paling besar golongan ini tetapi kita yakin, dengan adanya keazaman dan kerjasama semua pihak, perkara ini pasti dapat diatasi,” tegas Rodziah yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Seminar tersebut merupakan sebuah program motivasi anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan Pemadam, Pengasih dan pertubuhan Budi.

Dalam pada itu, Pengerusi Bahagian Pemulihan Al-Riqas MAIS, Hafizatul Akmal Abd Jalil berkata pihaknya akan menambah peruntukan bantuan kepada golongan OKP pada tahun hadapan.

“Program bantuan sudah dimulakan Mac tahun ini dan sehingga kini kita telah peruntukan dana melebihi RM1 juta bagi membantu golongan ini dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

“Antara lain kita memberi bantuan kewangan dan sara hidup kepada yang layak, bantuan pusat-pusat pemulihan selain turut membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan,” jelas Hafizatul lag.

Selain Rodziah dan Hafizatul, turut hadir ialah Pengerusi Pengasih Selangor, Che Pei Omar, Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Norfazli Ismail serta Adun Meru yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman.

Seminar satu hari itu mensasarkan penyertaan 300 golongan OKP daripada semua daerah di Selangor dan terbuka kepada semua kaum.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa