Perlantikan Alinah Tingkatkan Kemajuan Petaling Jaya

Datin Paduka Alinah Ahmad
SHAH ALAM 28 DIS : Pengalaman luas Datin Paduka Alinah Ahmad di dalam perkhidmatan awam dan sektor hartanah diyakini akan membawa kemajuan bandar Petaling Jaya kepada arah yang lebih dinamik.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Richard Yeoh Yong Woi berkata, warga kerja MBPJ dan penduduk bandaraya itu turut berbangga dengan Alinah yang muncul sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan Datuk Bandar.

“Kita pasti berbangga dengan Alinah sebagai Datuk Bandar kerana sebelum ini seorang wanita dilantik hanya sebagai Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

“Dengan pengalaman dan prestasi kerja cemerlang dalam pentadbiran awam, Alinah dengan dibantu warga MBPJ akan meneruskan pembangunan bandaraya ini dengan lebih baik dan moden,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Alinah yang merupakan bekas ketua pengarah eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memulakan tugas selaku Datuk Bandar Petaling Jaya pada 1 Januari tahun depan menggantikan Datuk Mohamad Roslan Sakiman

Seorang lagi Ahli Majlis Mohd Ghazali Daud berkata, Petaling Jaya memerlukan Datuk Bandar yang kaya dengan idea dan visi.

“Sebagai pegawai kerajaan berpengalaman luas, saya yakin pelbagai perubahan akan dirancang demi kemajuan Petaling Jaya dalam menempuh cabaran masa depan.

“Alinah pasti akan meneruskan visi dan perancangan yang sudah dirangka oleh Datuk Bandar terdahulu.

“Kemahiran dalam pentadbiran dan pengurusan tentu menjadi satu kelebihan baginya dan ini akan memberi manfaat kepada Petaling Jaya,” kata Ahli Majlis MBPJ itu.

Pendapat Yeoh dan Ghazali turut dipersetujui seorang lagi Ahli Majlis MBPJ, Mahharul Ismail dengan menyatakan pelantikan tersebut adalah satu perubahan positif.

Beliau berkata, bandaraya lestari seperti Petaling Jaya akan menempuh satu perubahan dari segi pembangunan infrastruktur dan komuniti dari masa ke semasa.

Beliau menambah, pihaknya akan terus memberi kerjasama demi kemajuan bandaraya itu serta usaha mengatasi segala masalah seperti pungutan sampah dan kesesakan lalulintas.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib