Mahfuz : Kabinet Lindungi Kepentingan Kroni AES

aes

KUALA LUMPUR, 27 DIS : Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE) Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Kabinet yang meneruskan proses pengeluaran saman AES meskipun Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menangguhkan prosiding mahkamah.

Menurutnya, tindakan ini dilihat sebagai usaha menjaga kepentingan kroni yang mempunyai pegangan di dalam syarikat konsesi yang mengendalikan sistem penguatkuasaan automatik (AES).

“Apakah kerajaan begitu bimbang menagguhkan operasi AES ini bagi menjaga kepentingan pihak tertentu.

“Apakah kerajaan ingin menjaga kepentingan Tan Sri Azman Yahya iaitu menganggotai beberapa GLC kerajaan termasuk Khazanah Nasional.

“Saya menyebut perkara berkenaan kerana ATES Sdn Bhd (sebuah syarikat yang mengendalikan AES), adalah dimiliki oleh satu syarikat yang bernama Angsana Tiara Sdn Bhd sebanyak 67.74 peratus.

“Angsana ini dimiliki oleh Tan Sri Azman Yahya sebanyak 66.60 peratus pemegang saham,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Poko Sena, syarikat tersebut mempunyai kerugian terkumpul berjumlah RM 781 juta.

Mahfuz mendakwa pemberian kontrak AES adalah usaha membaik pulih syarikat tersebut.

Tegas Mahfuz, selepas prosiding mahkamah ditangguhkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya menghentikan pengeluaran saman baru AES dan memulangkan saman yang telah dibayar.

“Saya bersedia berdebat, dengan seorang bertaraf menteri tentang pelaksanaan AES,” cabar Mahfuz.

Semalam, dilaporkan bahawa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengatakan saman AES akan tetap dikeluarkan walaupun prosiding mahkamah telah ditangguhkan.

Cho Ha turut mengakui saman AES bermasalah dari sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu.

Setakat ini hampir 300,000 saman telah dikeluarkan sejak AES mula dilaksanakan 23 September lalu.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afix Redzuan