Jambatan Ke-Tiga Klang Akan Siap Dalam Dua Tahun, Elak Kesesakan

jambatan klang lawatan MB 01

SHAH ALAM, 17 DIS: Pengguna jalan raya tidak perlu lagi meredah kesesakan di tengah bandaraya Klang untuk ke Kuala Lumpur atau sebaliknya ke Pelabuhan Klang, selepas jambatan ke-tiga Klang siap sepenuhnya dalam dua tahun lagi.

Jambatan enam lorong yang akan merentasi Sungai Klang itu akan menyalurkan trafik antara Klang Utara dan Klang Selatan tanpa melalui Klang yang merupakan pekan ke-tiga terpadat di Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembinaan jambatan sepanjang 500 meter itu akan memakan kos RM 300 juta dan bakal dimulakan awal tahun depan.

“BN gagal tepati janji untuk bina jambatan ke-tiga, walaupun sebenarnya ia sudah perlu dilakukan sebelum 2008 lagi kerana mengikut kajian lebih 200,000 kenderaan melalui jambatan-jambatan di Klang, bermakna ia penuh sesak.

“Orang dari Sijangkang, Banting, Pelabuhan Klang yang ingin ke Shah Alam, Kuala Lumpur, Petaling Jaya tak perlu melalui Bandar Klang dengan jambatan ke-tiga ini dan dapat mengurangkan kemasukan kenderaan di Bandar Klang,” kata Abdul Khalid.

jambatan klang lawatan MB 02Beliau berakata demikian selepas mengadakan lawatan di tapak cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Lokasi pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Kelang itu terletak di Kampung Sungai Pinang di sebelah Klang Utara dan Sungai Bertih di sebelah Klang Selatan.

Selain itu, menurut Abdul Khalid, walaupun kos pembinaan jambatan ke tiga Klang tersebut ditanggung oleh Kerajaan Negeri, beliau berharap agar projek ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia yang akan datang.

“RM 300 juta peruntukan adalah dari wang rizab Kerajaan Negeri, tetapi kita harap dapat masukan dalam Rancangan Malaysia yang akan datang,” ujar beliau lagi.

“Bulan depan kita akan tunjuk pelan rekabentuknya dan dijangka akan ambil masa sekurang-kurang dua tahun untuk disiapkan,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid mengumumkan pembinaan jambatan baru tersebut pada sesi Dewan Negeri Selangor bulan lepas.

Jambatan tersebut pada mulanya, dijanjikan oleh Kerajaan Pusat Umno-BN seminggu sebelum pilihanraya ke-12 pada Mac 2008. Akan tetapi, sampai sekarang kerajaan pusat masih tidak menepati janji tersebut.

Terdahulu, Abdul Khalid diiringi beberapa Exco Kerajaan Negeri mengadakan lawatan kerja di beberapa lokasi pembinaan jambatan tersebut.

Turut sama dalam lawatan itu, Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pendapat Anda

Pendapat

About Nazli Ibrahim