Benar Mahasiswa Bertanding, KPT Jangan Berat Sebelah

adam

SHAH ALAM, 17 DIS : Disebalik kebenaran mahasiswa bertanding dalam pilihan raya akan datang, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diingatkan supaya bersikap adil terhadap semua mahasiswa.

Ini kerana menurut aktivis Mahasiswa, Adam Adli, banyak kejadian sebelum ini KPT memberi layanan yang tidak adil khususnya kepada mahasiswa yang terlibat menyokong pembangkang.

Menurut Adam, secara peribadi beliau tidak mempunyai sebarang masalah terhadap beberapa mahasiswa yang menyertai dan menjadi ahli kelab penyokong mana-mana parti politik.

“Bagi saya apa yang sedang berlaku kini adalah KPT tidak faham apa tujuan dan tuntutan sebenar pelajar iaitu membebaskan mahasisiwa itu untuk berpolitik.

“Kita boleh lihat hari ini apabila yang menyertai kumpulan-kumpulan menyokong lebih kepada pembangkang (Pakatan) mereka ini selalunya akan didiskrminasi dan menjadi satu kesalahan kepada mereka berada di dalam parti tersebut.

“Tetapi kalau berada didalam kumpulan yang menyokong kerajaan ini adalah satu kelebihan buat mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan kerajaan membenarkan mahasiswa bertanding dalam PRU-13 sebagai mengiktiraf fungsi dan sumbangan serta kematangan daya pemikiran mahasiswa di negara ini sekarang.

Menurut Khaled, perkara ini juga selari dengan langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru-baru ini yang membenarkan mahasiswa aktif dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan.

Sebelum ini, kebangkitan mahasiswa menyaksikan beberapa pelajar menzahirkan suara mereka melalui demonstrasi bagi mendesak kerajaan memberikan perhatian kepada mahaiswa yang ingin aktif dalam politik termasuk meminda AUKU.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afix Redzuan