Wang Rakyat Patut Labur Ke Pendidikan Bukan Kapal Selam

MB pink songkok 01

BANDAR TUN RAZAK, 16 DIS : Semua negeri sewajarnya mencontohi negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang membelanjakan dana awam kepada program yang betul-betul beri manfaat kepada rakyat dan bukan kepada dasar hanya menguntungkan segelintir individu.

Misalnya, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Selangor melabur di dalam sektor pendidikan menerusi peruntukkan dana kepada sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama dan hadiah anak masuk universiti.

“Kita patut banyakkan peruntukan di pendidikan bukan banyakkan wang rakyat untuk membeli kapal selam.

“Kita harus berperang dengan menggunakan pendidikan bukan senjata. Kita harus bertanding dengan pakar-pakar yang dididik oleh negara,” ujar beliau lagi.

Semalam, Kerajaan Negeri juga membantu belia yang berpendapatan rendah dengan menanggung kos majlis perkahwinan dengan mengadakan kenduri dan majlis bersanding serentak yang melibatkan 61 pasangan.

“Kos perkahwinan sekarang semakin tinggi dan ini telah mengakibatkan ramai belia berhutang untuk menanggung kos tersebut.

“Oleh itu, Negeri Selangor yang di bawah Pakatan Rakyat mempunyai banyak program membantu rakyat.

“Terkini adalah membantu belia yang ingin berkahwin dengan mengadakan majlis berkahwin secara ramai,” katanya lagi, yang juga MP Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan kelengkapan sesi persekolahan peringkat Parlimen Bandar Tun Razak.

Seramai 200 orang pelajar yang kurang berkemampuan menerima sumbangan berkenaan yang terdiri daripada beg sekolah dan alat tulis.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afix Redzuan