Lebih Ramai Pesawah Guna “Natural Farming”, Tambah Pendapatan Lebih Dari “BR1M”

Yaakob MB petani buah 01

SHAH ALAM, 16 DIS : Kaedah “natural farming” akan diperluaskan di Selangor dengan  penglibatan petani dari 700 blok sawah tahun depan yang akan menggunakan teknik yang dapat menambahkan pendapatan sebanyak RM 2,000 setahun.

Teknik itu yang bermaksud “pertanian semulajadi”, dapat mengurangkan kos penanaman dengan menukarkan baja dan racun kimia dengan bahan-bahan yang diperbuat daripada sumber semulajadi.

Pada pengalaman seorang pesawah di Simpang Lima Sungai Besar,  Fadzlin Taslimin, kaedah itu juga dapat meningkatkan hasil tanaman.

“Saya mengusahakan sebanyak lima lot sawah. Perbelanjaan untuk racun adalah sekitar RM5,000 ke RM6,000 sebelum ini.

“Pada musim terbaru ini sudah berlaku penjimatan sebanyak sekitar RM3,000 untuk lima lot sawah tersebut,” katanya yang mula menggunakan teknik itu tiga tahun lalu.

Ujar beliau lagi, kaedah yang sihat itu lebih memberikan jaminan kesihatan kerana kurang daripada penggunaan racun kimia yang mengancam kesihatan.

“Juga untuk musim yang terbaru ini hasil akan meningkat sebanyak satu tan. Tiga ekar mungkin akan menghasilkan sehingga sembilan tan padi,” katanya.

Exco Permodenan Pyaakob interview yellow stripe 01ertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata pelan tahun depan adalah kesinambungan daripada projek perintis di Simpang Lima Sungai Besar.

Dalam projek itu, petani perintis daripada lapan blok sawah yang menggunakan teknik itu dapat mengurangkan kos operasi mereka daripada RM 5,000 kepada kurang dari RM 1,000 sebulan.

“Sekurang-kurangnya sebanyak RM 18 juta setahun boleh dijimatkan bagi 1,000 hektar,” katanya.

Yaakob berkata baja dan racun semulajadi tersebut juga boleh dijual oleh para petani untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, kesihatan para petani juga akan lebih terjamin kerana tidak terdedah dengan racun kimia yang mengancam kesihatan.

“Kaedah ini tanpa racun di sawah akan menyebabkan ekosistem kembali stabil dengan ikan-ikan akan hidup di sawah-sawah,” ujarnya apabila ditemui baru-baru ini.

Tambah Yaakob, para petani yang mengamalkan konsep “Natural Farming” membolehkan mereka memperolehi Sijil Amalan Ladang Baik Malaysia (SLAM).

“Kita mahu menghasilkan beras Selangor yang bersifat organik dengan harganya lebih mahal daripada beras biasa. Kosnya semakin rendah tetapi hasilnya lebih tinggi,” katanya.

“Kita memberikan petani teknologi dan bukannya subsidi kerana jika subsidi kerajaan perlu membelanjakan jumlah itu pada tahun berikutnya.

“Dengan teknologi, kita dapat menjimatkan kos pengeluaran petani dalam RM1,000 semusim maka ia lebih baik daripada BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) yang di mana ia berterusan dari tahun ke tahun,” kata Yaakob.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut