Pelajar Jepun Sertai Program Penanaman Pokok MPSP

CYBERJAYA 14 DIS : Seramai 120 pelajar daripada Nagasaki Nichidai High School, Jepun menyertai program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) di Taman Hutan Bandar minggu lalu.

Rombongan tersebut merupakan kali ketiga para pelajar daripada sekolah berkenaan hadir menyempurnakan upacara penanaman pokok di samping meninjau pokok-pokok yang ditanam sebelum ini.

“Dua tahun berturut-turut sebelum ini iaitu pada 2010 dan 2011, mereka telah datang menanam pokok dan kita juga ada meletakkan ‘pledge’ (ikrar) mereka.

“Program sihat ini ternyata telah menjadi program tahunan kita (MPSP) dan pihak sekolah (Nagasaki Nichidai High School) kerana kami mempunyai kepercayaan yang sama.

“Iaitu pokok hijau yang banyak adalah baik untuk menangani perubahan iklim khususnya di Cyberjaya ini,” jelas Penolong Pengarah, Jabatan Perancangan Bandar MPSP, Mohd Adham Mahmood berkata di program itu pada 8 Dis.

Program penanaman pokok tersebut dilancarkan pada 8 November 2009 oleh Ahli Majlis MPSP, Lau Weng Chan yang turut merasmikan program tersebut pagi itu.

Sehingga kini, hampir 2,000 batang pokok ditanam di kawasan seluas 9.67 ekar itu yang terletak bersebelahan Universiti Limkokwing di sini.

Selain para pelajar daripada Jepun, program itu turut mendapat sokongan komuniti tempatan selain syarikat-syarikat korporat seperti Prima Properties Management Sdn Bhd, Univeristi Limkokwing dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Diharap dengan penglibatan pihak pelajar dari Jepun, pihak swasta dan komuniti di sini, matlamat meningkatkan kesedaran akan kepentingan tumbuhan hijau dapat ditingkatkan di kalangan masyarakat,” ujar Adham.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa