Samseng Umno-BN Dilepas, Aktivis PR Diburu dan Ditahan

SHAH ALAM, 6 DIS : Kejadian samseng politik yang semakin berleluasa di Malaysia adalah kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Umno-BN yang melanggar batasan undang-undang.

Penasihat Undang-undang PAS, Hanipa Maidin berkata, banyak aduan yang dilaporkan kepada polis oleh Pakatan Rakyat (PR) berkenaan kejadian samseng politik yang didakwa dilakukan oleh penyokong Umno-BN.

Akan tetapi tiada tindakan daripada Polis terhadap aduan-aduan tersebut. Sebaliknya tindakan yang cepat dan tegas diambil oleh Polis terhadap penyokong PR.

Hanipa merujuk kepada insiden membaling cat ke Bas milik PKR semasa Jelajah Merdeka Rakyat di Melaka, di mana seorang pemuda di rakam dalam perbuatan itu.

Begitu juga dengan insiden “senaman punggung” di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Sebaliknya tindakan pula diambil terhadap mereka yang menyertai siri perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur sehingga diburu dan ditahan oleh Polis.

Begitu juga dengan beberapa pemuda yang diburu sehingga terpaksa meminta maaf secara terbuka kerana memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada satu perhimpunan Ogos lalu.

Ujar Hanipa, politik samseng adalah satu keadaan di mana mereka yang terlibat tidak bersedia dengan kepelbagaian idea dan akhir sekali mencetuskan pertembungan fizikal.

“Sewajarnya politik adalah pertukaran idea dan kebebasan serta diberi ruang untuk melontar pendapat.

“Pihak yang terlibat dengan samseng ini apabila idea mereka ditolak oleh golongan masyarakat,” katanya.

“Apabila idea mereka tidak boleh diterima dan ditolak oleh masyarakat maka (mereka) tidak senang dengan keadaan ini serta iri hati dengan idea-idea yang dikemukan sesuatu pihak maka di situ timbulnya politik samseng,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar kali ke-16 yang mengetengahkan topik ‘Politik Samseng Di Mana Maruah Kita’.

Kira-kira 500 hadirin hadir dalam wacana itu yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini.

Turut tampil dalam wacana ini, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut