Unsur Sabotaj Dalam Kes Roboh Kuil Dalam Rumah di Sepang

SHAH ALAM 6 DIS : Siasatan akan diadakan terhadap perobohan kuil bukan Islam di dalam perkarangan sebuah rumah di dalam kawasan Sepang pada 20 November lalu bagi mengenalpasti adakah tindakan itu mengikut prosedur yang betul.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, Majlis Perbandaran Sepang (MPSp)  diarahkan mengumpulkan segala bukti dan mengemukakannya dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, tindakan pegawai penguatkuasa MPSp bertentangan dengan Perintah Tetap yang dikeluarkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Hal Ehwal Bukan Islam yang melarang memecahkan struktur agama.

Beliau berkata, satu taklimat diberikan MPSp pada Rabu lalu kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Antara terlibat dalam majlis taklimat itu katanya, Yang Dipertua MPSp, Mohd Sayuthi Bakar serta Pengarah Pembangunan dan Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPSp.

“Dari taklimat diberi, Yang Dipertua MPSp dikatakan tidak dimaklumkan mengenai tindakan meroboh rumah ibadat itu.

“Majlis Hal Ehwal Bukan Islam dipengerusikan bersama YB Ronnie Liu, YB Teresa Kok dan saya juga tidak memdapat maklumat mengenainya.

“Pihak tertentu yang terlibat dengan tindakan ini dianggap unilateral dan ia boleh diyakini sebagai satu sabotaj,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa seramai 30 pegawai penguatkuasa MPSp telah pergi ke sebuah rumah di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi dan merobohkan rumah ibadat yang dibina di dalam perkarangan rumah.

Tindakan itu diambil kerana pemilik rumah didakwa melanggar undang-undang kecil MPSp.

Dr Xavier menjelaskan bermula pada 2008, Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan kepada semua PBT dan Pejabat Tanah supaya tidak merobohkan rumah ibadat yang wujud sebelum 2008.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memudahkan urusan mendapatkan kebenaran mengenai rumah ibadat dari pihak berkuasa yang berkaitan.

Katanya, buat masa ini terdapat sekurang-kurangnya 30 tempat ibadat yang dibina dengan kelulusan yang lengkap yang diberikan oleh PBT.

“Kita menasihatkan semua pihak mematuhi undang-undang negeri. Jika segala undang-undang tidak dipatuhi dan tindakan sendiri diambil maka kita akan menghadapi kesukaran dalam meningkatkan sistem urus tadbir yang betul.

“Hanya melalui perundingan, perbincangan dan pemahaman, kita akan dapat mencapai perubahan yang diperlukan dalam masyarakat,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib