Habibie : Pluralisme Budaya Kekuatan Sesebuah Negara

SHAH ALAM, 6 DIS : Mantan Presiden Republik Indonesia, Prof Dr Bacharuddin Jusuf Habibie (BJ Habibie) mengingatkan setiap individu supaya mempertahankan pluralisme budaya yang menjadi kekuatan kepada sesebuah negara.

Mengambil contoh negara Indonesia dan Malaysia, Habibie berkata, kedua-dua negara ini sudah mengamalkan pluralisme budaya sejak sekian lama yang membawa kepada perpaduan sesama kaum.

“Pluralisme merupakan satu lambang kekuatan buat sesebuah negara dan ia perlu dipertahankan oleh semua masyarakat.

“Amalan ini akan menyebabkan masyarakat lebih bersikap toleransi dan bertolak ansur,” katanya dalam ucapannya semasa program pidato “Habibie Dan Transisi Indonesia Ke Demokrasi” di Universiti Selangor pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau turut meningatkan setiap pemimpin supaya sentiasa mengamalkan sikap positif dalam pentadbiran selain berusaha meningkatkan elemen budaya, agama dan penguasaan teknologi.

Habibie mengambil alih tampuk pemerintahan pada May 1998 semasa Indonesia dilanda krisis politik dan ekonomi pada tahun itu.

Beliau diikhtiraf sebagai Presiden yang bertanggungjawab memberi kebebesan bersuara, berpersatuan dan membebaskan media – prinsip-prinsip yang dikekang semasa pemerintahan presiden sebelumnya Jeneral Muhammad Soeharto – kepada Indonesia.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Speaker Dewan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan Exco-exco Selangor.

Dalam ucapan beliau, Abdul Khalid berkata kejayaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam memperkenalkan urus tadbir berhemah, telus dan mementingkan keadilan sosial adalah hasil daripada pendemokrasian pentadbiran yang diamalkan sejak 2008.

Kesan daripada amalan ini kata Abdul Khalid, Selangor berjaya mencatatkan kejayaan dari segi tadbir urus kewangan, pelaburan serta pembangunan modal insan sebagaimana diperakui Laporan Audit Negara 2011.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mementingkan program berbentuk kebajikan dan latihan kemahiran kepada golongan wanita, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

Prinsip keterbukaan juga mendorong PR Selangor melaksanakan berbagai langkah untuk membasmi rasuah di dalam pentadbiran.

“Gejala rasuah akan menindas golongan kurang bernasib baik dan menimbulkan ketidak adilan sosial.

“Rasuah juga diakibatkan oleh karenah birokrasi yang berlaku dalam sistem pentadbiran.”

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera