MPK Serbu Spa Yang Menjalankan Aktiviti Rumah Urut

 

SHAH ALAM 6 DIS : Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menyita barangan sebuah spa kesihatan yang menjalankan operasi rumah urut.

Operasi Jabatan Perlesenan dan Penjaja Kecil MPK di Bandar Baru Klang itu diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran MPK, Hasnor Harith selain disertai beberapa Ahli Majlis MPK.

“Kita telah mengeluarkan notis selain mengenakan kompaun terhadap premis tersebut sebelum ini.

“Hari ini kita terpaksa mengambil tindakan tegas setelah segala amaran dikeluarkan tidak diendahkan pengusaha,” jelas Hasnor.

Sementara itu, Ahli Majlis MPK, Azmizam Zaman Huri menyeru orang ramai supaya tidak mengunjungi pusat perniagaan yang menjalankan operasi tanpa lesen.

“Sejak 2008, pihak MPK memang tidak lagi mengeluarkan lesen kepada rumah urut.

“Jadi kita mohon agar orang ramai juga tidak menggalakkan perniagaan haram ini kerana jika tiada permintaan, pasti perniagaan mereka ini tidak akan hidup,” tegasnya.

Dalam operasi pagi tadi, pihak MPK turut bertindak menanggalkan paparan iklan besar di spa tersebut.

MPK juga mengambil tindakan menurunkan paparan iklan di sebuah kedai perabot di kawasan yang sama.

Iklan tersebut tidak mendapat lesen pengiklanan daripada MPK.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa