SAMM : Polis Tidak Pernah Mohon Maaf Kepada Keluarga Aminulrasyid

SHAH ALAM 6 DIS : Sehingga hari ini, pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak pernah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh anggota polis.

“Walaupun didesak berkali-kali, pihak polis tidak menarik balik tuduhan penjenayah dan tetap tidak akui bahawa parang tersebut adalah ‘planted evidence’.

“Jangan sesekali kita lupa bahawa polis telah melepaskan 21 das tembakan untuk memberhentikan sebuah kereta biasa, bukan kereta kebal dan ini melangkaui keraguan munasabah,” tegas Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan media.

Aminulrasyid, 15 tahun ditembak mati oleh anggota polis semasa beliau memandu kereta kepunyaan kakaknya di dalam satu kejadian kejar-mengejar antara 1 -2 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini 26 April tahun lalu.

Selepas kejadian awal pagi itu, Polis Kontijen Selangor mendakwa polis melepaskan tembakan ke arah kereta itu kerana mendakwa Aminulrasyid cuba melanggar anggota polis yang mengejarnya.

Polis turut mendakwa Aminulrasyid seorang penjenayah kerana kononnya sebilah parang dijumpai di dalam kereta yang dipandunya.

Akan tetapi, semasa perbicaraan mahkamah, kawan Aminulrasyid yang berada di dalam kereta pada masa itu berkata Aminulrasyid mati di tembak di kepala.

Ini menyebabkan Aminulrasyid hilang kawalan kereta sehingga merempuh kaki lima dan terjunam ke dalam longkang.

Semasa perbicaraan, tiada bukti yang diketengahkan bahawa parang dijumpai di dalam kereta itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Koperal Jenain Subi 49, daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menerima rayuan anggota polis itu terhadap hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada September tahun lepas.

“Dengan pelbagai tohmahan palsu, tanpa sebarang permaafan dari pihak polis dan menteri KDN, dan terbaru keputusan mahkamah yang ‘tidak logik’, di manakah keadilan buat arwah adik Aminulrasyid?

“Jenain dibiarkan bebas ketika keluarga arwah Aminulrasyid meratapi pemergian ‘budak penjenayah’ ciptaan polis, tanpa keadilan,” tegasnya lagi.

Justeru itu, SAMM berpendirian kelalaian pihak polis wajar diakui dan si penembak harus dijatuhkan hukuman setimpal agar tiada lagi polis menembak di lapangan awam tanpa pertimbangan yang sepatutnya, Edy Noor berkata.

 

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa