360 Terima Watikah Pelantikan Sebagai Ketua Kampung Tradisi

SHAH ALAM 5 NOV : Seramai 360 ketua kampung tradisi menerima surat watikah pelantikan bagi penggal 2013.

Penyampaian watikah tersebut disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan di sini.

Perlantikan itu melibatkan 27 lantikan baru sementara 333 lagi disambung kerana prestasi dan ketokohan yang baik.

Salah seorang penerima watikah, Ednan Othman 58, dari Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh berkata sambungan lantikannya itu memberi semangat untuknya bekerja untuk Kerajaan Negeri.

“Sambungan ini menunjukkan Kerajaan Negeri percaya dengan amanah yang diberikan kepada saya dan saya perlu melunaskan amanah itu.

“Saya berazam untuk menarik lebih ramai lagi menyertai program-program anjuran Kerajaan Negeri,” ujarnya yang menjadi ketua kampung sejak tahun 2008.

Penerima lain, Ramli Daud 56, daripada Kampung Sungai Kayu Ara pula berharap agar Kerajaan Negeri dapat terus memerintah untuk berbakti kepada rakyat Selangor.

“Kita dapat lihat Kerajaan Negeri yang ada hari ini jujur bekerja dan mencurahkan kebajikan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

“Inilah pembaharuan yang ketara dibawa Kerajaan Pakatan Rakyat dan kita harap sangat keadaan ini terus kekal demi semua rakyat,” jelas beliau yang juga menerima sambungan lantikan untuk dua tahun lagi.

Turut disampaikan dalam majlis tersebut ialah Watikah Penubuhan kepada 56 buah Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh Selangor.

Turut hadir Exco Negeri, Dr Yaakob Sapari, Rodziah Ismail dan Ronnie Liu.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa