PKNS : Penjualan Kilang Di Klang Berlaku Secara Telus

SHAH ALAM 5 DIS : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menegaskan, penjualan lapan unit kilang berkembar di Taman IKS, Bandar Sultan Suleiman (BSS) Pelabuhan Klang, dibuat secara telus.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, PKNS mula mengiklankan jualan berkenaan kepada orang ramai di media pada bulan Ogos 2011 dengan tawaran diskaun bagi pembelian sebanyak 10 peratus sehingga Disember 2011.

Ini berlaku selepas pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada penyewa sedia ada untuk membeli kilang berkembar itu.

Katanya, hasil daripada pengiklanan yang dibuat, PKNS berjaya menjual kesemua baki 14 unit kilang berkenaan yang kini dimiliki 60 peratus bumiputera dan 40 peratus bukan bumiputera.

Sebelum itu, projek yang menempatkan 20 unit kilang itu mula diduduki pada 15 Jun 2001 dengan enam unit berjaya dijual manakala baki 14 unit lagi terpaksa disewakan.

Malah, PKNS kemudiannya menawarkan pembelian kilang berkembar itu kepada penyewa-penyewa yang majoritinya adalah bumiputera pada 10 April 2009 dan 17 Jun 2010.

“Bagaimanapun, kami tidak menerima sebarang maklumbalas daripada penyewa sedia ada untuk membeli kilang berkembar tersebut. Oleh itu, kami mengiklankan jualan berkenaan kepada orang ramai di media pada bulan Ogos 2011 dengan tawaran diskaun bagi pembelian sebanyak 10 peratus sehingga Disember 2011.

“Justeru, dakwaan yang mengatakan PKNS sudah lari dari matlamat asal penubuhannya tidak harus timbul memandangkan PKNS menawarkan kepada penyewa untuk membeli lot kilang berkenaan sejak 2009 lagi,” katanya bagi mengulas dakwaan PKNS hanya mementingkan keuntungan sehingga lari daripada matlamat asalnya membantu golongan bumiputera di negeri ini.

Jelasnya lagi, pelepasan kuota unit-unit bumiputera itu mendapat kelulusan Mesyuarat Pengurusan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi pada 23 Ogos 2011.

Pendapat Anda

Pendapat

About TVSelangor