SHAH ALAM 30 NOV : Kerajaan Negeri berpendirian Loji Langat 2 dan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor hendaklah dibincangkan bersama Kerajaan Pusat bagi mencapai persefahaman dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat perlu berbincang secara menyeluruh dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik.
Katanya, perkhidmatan air semasa yang tidak holistik akan terus menyumbang kepada pengurusan air yang tidak cekap dan membebankan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak lagi berupaya mengendalikan pengagihan air kerana menanggung defisit kewangan dan berhutang dengan operator rawatan air melebihi RM400 juta serta gagal membayar royalti air mentah kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM3 juta,” katanya.
Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas ucapan penutup sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Selangor supaya terus menyokong usaha penstrukturan industri perkhidmatan air bagi memastikan bekalan air lebih cekap pada harga munasabah.
Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati terhadap perjalanan sidang DNS yang bukan sahaja membuktikan Kerajaan Negeri berjaya membentangkan belanjawan berimbang malah berjaya menyerahkan Kertas Putih hutang Talam dan laporan status penstrukturan industri air.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli dewan yang mengambil bahagian dalam perbahasan, saya terima cadangan, kritikan serta hujah yang boleh memberi penambahbaikan kepada Kerajaan Negeri.
Saya mengucapkan terima kasih terima kasih kepada Speaker, Datuk Teng Chang Khim kerana mengendalikan persidangan Dewan penggal kelima dengan baik dan lancar,” katanya lagi.




Sepatutnya MB Selangor perlu berhenti mengelirukan rakyat dengan keluarkan kenyataan berbeza acap kali ditanya mengenai penyelesaian muktamad isu air di Selangor. Sekejap mahu laksana penstrukturanlah, sekejap lagi kata mahu ambil alih syarikat konsesi air pula, sekejap lagi kata mahu laksana model holistik la… Yang mana satu betul ni? Rakyat dah tak mahu dengar lagi temberang MB kerana yang penting sekarang ialah menyegerakan projek Langat 2 yang merupakan tonik ajaib selesaikan isu air di S’gor.
Seperkara lagi, mengenai pendedahan kertas putih isu air baru2 ini yang jelas tak banyak membantu rakyat memahami isu sebenar berkaitan air. Pendedahan kertas putih tidak lain tidak bukan hanya sebagai topeng untuk menutup kelemahan kerajaan negeri yang hanya pandai berdolak dalik dari menyelesaikan segera krisis air di Selangor. Hanya mereka yang buta hati sahaja menerima kertas putih tersbut seadanya sedangkan krisis air tetap gagal diselesaikan